syurgaminda ku di sini…

Islam adalah pegangan ku

Archive for the ‘Isu Semasa’ Category

Pusat tumpuan ritual terbesar sesak gara-gara “Lailatul Qadar”

with 8 comments


MAKKAH/RIYADH: Masjidil Haram di Makkah padat dengan jemaah dan pengunjung apabila beratus-ratus ribu orang dari seluruh dunia yang menunaikan ibadah umrah, tarawih dan Qiamullail mencari keberkatan Lailatul Qadar.

Jabatan Pertahanan Awam Makkah julung kalinya memberi kebenaran kepada Arab News merakam foto Masjidil Haram dari udara (melalui helikopter) pada malam 21 Ramadan lalu, atas inisiatif komander penerbangan, Mejar Jeneral Muhammad Al-Harbi. Helikopter S92 itu dipandu Kapten Abdul Aziz Al-Dhufyan dan Leftenan Muda Ziyad Al-Otaibi.

Helikopter itu terbang dari Jeddah dengan ketinggian 12,192 meter dan pada kelajuan 148 kilometer sejam.

Penerbangannya melalui daerah tengah Makkah dan jurugambar Arab News berjaya merakam beberapa foto seluruh bandar raya Makkah dari pelbagai sudut. Ia turut memfokus kepada Jam Makkah di Menara Yayasan Raja Abdul Aziz. Helikopter juga terbang melalui Misfala, Kuday, Ajyad, Hafair, Hajoun dan Aziziya yang dipenuhi kenderaan membawa jemaah dan pengunjung.

Helikopter yang berfungsi untuk melakukan operasi mencari, menyelamat dan memadam kebakaran serta membawa pesakit itu terbang selama satu jam 30 minit. Sementara Ramadan memasuki 10 hari terakhir bermula Sabtu lalu, masjid di seluruh Arab Saudi mula menunaikan ibadah Qiamullail.

“Solat khas itu dilakukan ketika 10 hari terakhir mulai jam 1 pagi,” kata imam Masjid Sheebani di daerah Nasseriyah di Riyadh, Mohammed Obaidullah.

Sepuluh hari terakhir Ramadan amat penting kerana al-Quran diturunkan buat kali pertama kepada Nabi Muhammad (SAW) pada malam Lailatul Qadar.

Sumber: myMetro (23 Ogos 2011)

Untuk seketika, terdetik satu persoalan di fikiran saya.

Benarkah Tuhan suruh manusia menanti-nanti sambil melakukan upacara ritual pada suatu malam yang kononnya malam tersebut mendapat keberkatan “Lailatul Qadar”?

Apakah itu “Lailatul Qadar”?

Dalam Al-Quran, memang terdapat perkataan tersebut. Mari kita semak sama-sama.

97:1. Sesungguhnya, Kami menurunkannya (Al-Quran) pada malam yang berkuasa.

97:2. Dan tahukah kamu apakah ia malam yang berkuasa?

97:3. Malam yang berkuasa adalah lebih baik daripada seribu bulan,

97:4. Padanya malaikat-malaikat dan Roh turun, dengan izin Pemelihara mereka, dengan segala perintah,

97:5. Sejahteralah ia, hingga terbit fajar.

Transliterasi: Surah ke-97.

1 Inna anzalnahu fee laylati alqadri
2 Wama adraka ma laylatu alqadri
3 Laylatu alqadri khayrun min alfi shahrin
4 Tanazzalu almalaikatu waalrroohu feeha biithni rabbihim min kulli amrin
5 Salamun hiya hatta matlaAAi alfajri

Saya berpendapat, malam tersebut telah berlalu. Tidak ada lagi ‘malam yang berkuasa’ itu. Jadi, penantian para ritualis ini adalah sia-sia. Dengan berkumpul beramai-ramai sehingga menjadi terlalu sesak akan menyebabkan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Sebagai Pentadbir sekalian alam, Tuhan tidak akan suruh manusia beritual di sekeliling kiub batu sambil menanti-nanti malam yang berkuasa itu. Ia hanyalah mainan amalan orang-orang yang menyekutukanNya dan tidak mahu menggunakan minda.

JEDDAH: Pihak berkuasa Makkah menggunakan alat berteknologi tinggi untuk mengawal bilangan jemaah yang memasuki Masjidil Haram pada 10 hari terakhir Ramadan, menurut laporan akhbar Al-Yaum.

Peralatan itu digunakan di semua pagar Masjidil Haram bagi menganggarkan bilangan jemaah umrah dan pengunjung.

Pihak berkuasa cuba mengekang kebanyakan pekerja yang memasuki masjid berkenaan pada 10 hari terakhir untuk menunaikan tawaf dan membaca al-Quran dengan pakaian kerja mereka. Keadaan ini menyebabkan ketidakselesaan kepada jemaah umrah.

Pihak berkuasa juga cuba memastikan pengunjung yang tidak menunaikan umrah tidak tidur di tempat terbuka dan menghalang laluan.

Terdapat lebih ramai jemaah menunaikan tawaf di kaabah ketika 10 hari terakhir Ramadan berbanding pada waktu haji. Keadaan ini disebabkan oleh jemaah haji hanya perlu tawaf di kaabah pada waktu ditentukan. Masjidil Haram turut sesak kerana jemaah umrah beriktikaf di masjid hingga akhir Ramadan. – SG

Sumber: myMetro (23 Ogos 2011)

Inilah akibatnya jika tidak mahu mengikut petunjuk Tuhan dalam Al-Quran. Mereka tidak mahu menggunakan minda untuk berfikir.

Kalaulah benar bahawa setiap manusia yang beragama Islam perlu berkunjung ke tempat itu, pasti huru-hara. Kita sendiri dapat membayangkan lautan manusia yang lebih ramai. Kalau ada manfaat, tidak apalah juga.

Setiap apa yang Tuhan suruh dan larang pasti ada manfaatnya kepada kita. Namun, apabila ada manusia yang berani mengatakan sesuatu yang bukan datang daripada Tuhan pasti akan mengundang mudarat. Sunnah Tuhan, tiada sesiapa yang dapat mengubah.

Itulah buktinya.

Written by syurgaminda

August 23, 2011 at 2:00 pm

Posted in Isu Semasa

‘Bir Halal’ jadi haram

leave a comment »


“JOHOR BAHRU: Mengejutkan apabila ujian makmal yang dijalankan terhadap minuman yang popular sebagai `bir halal’ di kalangan pengguna Islam dikesan mengandungi alkohol pada kadar melebihi jumlah dibenarkan syariat.
Penemuan kandungan alkohol sebanyak 0.5 peratus itu terbongkar selepas pengguna yang meragui minuman itu membuat aduan kepada Jabatan Agama Johor (JAJ) dengan membawa sendiri ‘bir halal’ itu untuk dianalisis, seterusnya mendapatkan kepastian.

Menurut sumber, JAJ kemudian menghantar sampel minuman ke Jabatan Kimia untuk pengesahan dan hasil ujian makmal yang dijalankan mendapati bir halal diperbuat daripada pelbagai perisa buah-buahan itu mengandungi 0.5 peratus kandungan alkohol.
“Berikutan penemuan itu, JAJ memaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Isu ‘bir halal’ memang hangat diperkatakan sekarang ini. Terkini, pembesar-pembesar agama menasihati para pengguna yang beragama islam agar tidak terburu-buru membuat keputusan untuk meminum ‘bir halal’ ini. Ia akan dikaji dan dianalisis oleh pihak tertentu dan akan diputuskan sama ada bir ini halal atau haram untuk diminum.

Menurut sumber yang dipetik di atas, kandungan alkohol yang terdapat pada minuman tersebut adalah kira-kira 0.5 peratus sahaja.

Persoalannya, apakah dengan kandungan alkohol yang teramat kecil ini pembesar agama akan mengisytiharkan ‘bir halal’ itu akan menjadi haram? Jika kandungannya tinggi sekalipun, apakah mereka mempunyai kuasa untuk menghalang orang daripada meminumnya? Apakah terdapat dalam Al-Quran sendiri bahawa Tuhan membenarkan peminum arak untuk dihukum?

Dalam Al-Quran, Tuhan hanya menyebut bahawa;

2:219. Mereka menanyai kamu mengenai arak dan judi. Katakanlah, “Pada keduanya dosa besar, dan beberapa manfaat kepada manusia, tetapi dosanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.” Dan mereka menanyai kamu mengenai apa yang mereka patut menafkahkan. Katakanlah, “Yang berlebihan.” Begitulah Allah memperjelaskan ayat-ayat kepada kamu supaya kamu memikirkan.

Meskipun Tuhan menyatakan arak dan judi adalah dosa besar, terdapat beberapa manfaat kepada manusia. Dan di akhir ayat di atas, hanya ‘yang berlebihan’ sahaja yang patut kita nafkahkan untuk kedua-duanya. Maksudnya, jika ada duit lebih barulah boleh meminum arak dan bermain judi.

5:90. Wahai orang-orang yang percaya, arak, dan judi, dan berhala-berhala, dan ramalan anak-anak panah, adalah kotoran, sebahagian daripada amalan syaitan; maka jauhilah ia agar kamu beruntung.

Pun begitu dalam ayat 5:90, Tuhan menyarankan kepada kita agar menjauhi arak kerana ia adalah kotoran dan sebahagian daripada amalan syaitan. Banyak keuntungan yang kita perolehi termasuklah wang yang lebih itu digunakan untuk perkara-perkara yang lebih mustahak.

Jadi, dengan menguatkuasakan hukuman meminum arak dan menentukan sesuatu minuman beralkohol itu haram untuk diminum adalah sesuatu yang diada-adakan oleh pembesar agama.

Tuhan sendiri pun tidak pernah mengatakan ia adalah haram atau harus dikenakan tindakan terhadap individu yang meminumnya. Tuhan cuma menyuruh untuk menjauhinya sahaja kerana kita akan dapat keuntungan jika dapat berbuat demikian.

Written by syurgaminda

June 23, 2011 at 11:36 am

Posted in Isu Semasa

Jual organ: Pembesar agama hukum haram

with 8 comments


Niat murni wanita ini tidak boleh dihalalkan apatah lagi jika ia dilakukan untuk membayar hutang along,

Inilah satu kenyataan daripada seorang penasihat majlis agama di negara ini yang jelas tidak mahu menghalalkan niat wanita tersebut untuk menjual organnya.

Persoalannya, apakah terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menegah atau melarang perbuatan sedemikian?

Jika tiada, mengapa ada orang yang sanggup berkata “tidak boleh dihalalkan”?

Apakah mereka tahu bahawa Tuhan melarang perbuatan tersebut?

Saya berpendapat, kita tidak berhak untuk menjatuhkan hukum tersebut kerana ianya adalah hak individu masing-masing. Wanita tersebut sudah bersedia menanggung risiko jika dia meneruskan niatnya. Jadi, kita tidak perlu menghalang beliau apatah lagi beliau amat terdesak untuk melangsaikan hutang suaminya sendiri.

Written by syurgaminda

June 17, 2011 at 6:03 pm

Posted in Isu Semasa