syurgaminda ku di sini…

Islam adalah pegangan ku

Lain disuruh, lain yang dibuat

with one comment


Di bawah ini adalah petikan daripada satu kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang pembesar agama yang amat disegani di negara ini. Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut kepada seorang lelaki beragama Hindu yang mempersoalkan ajaran Agama Islam.

Berikut adalah jawapan daripada pembesar agama yang tersohor ini;

“Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah. Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain? “

Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita lakukan bukan untuk Dia?”

Ternyata segala jawapan dan hujah yang diberikan oleh pembesar agama itu atas pertanyaannya itu, membuatkan lelaki itu mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah dipatahkan oleh pembesar agama tersebut dengan cara yang lembut dan bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai orang bukan Islam.

Saya tidak pasti bagaimana pembesar agama ini tidak dapat memikirkan tentang sesuatu perbuatan atau pekerjaan sama ada ianya berfaedah atau tidak.

Memanglah perumpamaan yang diberikan oleh beliau itu ada logiknya. Kerja dengan orang lain. Minta duit gaji dengan orang lain. Sudah tentu ada yang tak kena di situ.

Namun begitu bagaimana pula sekiranya kerja yang dilakukan itu tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada tuannya? Contohnya, kita disuruh bersihkan kawasan yang semak di belakang rumah. Tapi apa yang kita buat ialah berdiri, menundukkan kepala, meletakkan dahi dan duduk di atas tanah sambil mengadap sebuah busut di belakang rumah tersebut. Tidakkah perbuatan-perbuatan tersebut akan mengundang rasa marah oleh tuannya? Atau adakah perbuatan-perbuatan tersebut mendatangkan faedah kepada tuannya?

Di situ sahaja kita akan nampak logiknya mengapa Tuhan mencipta manusia. Setiap apa yang diciptakanNya ada tujuannya.

Manusia disuruh agar melakukan perkerjaan yang berfaedah demi manfaat sejagat bukan perkerjaan yang tidak berfaedah seperti beritual lima atau tiga kali sehari.

Di samping melakukan amalan-amalan yang berfaedah, kita disuruh untuk berbuat baik sama ada sesama sendiri, binatang atau alam sekitar. Jika kita menjadi manusia yang baik, Tuhan akan beri upah kepada kita di akhirat kelak. Begitulah sebaliknya, kita akan menerima hukuman jika berbuat kejahatan.

Sebenarnya, dalam Al-Quran sudah menjelaskan bahawa sesiapa sahaja yang berbuat kebaikan layak mendapat upah. Saya kurang pasti bagaimana pembesar agama tersebut terlepas pandang ayat Al-Quran di bawah ini;

2:62. Sesungguhnya orang-orang yang percaya, dan orang-orang Yahudi, dan Kristian, dan Sabiin, sesiapa percaya kepada Allah dan Hari Akhir, dan membuat kerja-kerja kebaikan, maka upah mereka adalah di sisi Pemelihara mereka, dan tiadalah ketakutan pada mereka, dan tidaklah mereka bersedih.

Written by syurgaminda

September 14, 2011 at 2:53 pm

Posted in Al-Quran

Pusat tumpuan ritual terbesar sesak gara-gara “Lailatul Qadar”

with 8 comments


MAKKAH/RIYADH: Masjidil Haram di Makkah padat dengan jemaah dan pengunjung apabila beratus-ratus ribu orang dari seluruh dunia yang menunaikan ibadah umrah, tarawih dan Qiamullail mencari keberkatan Lailatul Qadar.

Jabatan Pertahanan Awam Makkah julung kalinya memberi kebenaran kepada Arab News merakam foto Masjidil Haram dari udara (melalui helikopter) pada malam 21 Ramadan lalu, atas inisiatif komander penerbangan, Mejar Jeneral Muhammad Al-Harbi. Helikopter S92 itu dipandu Kapten Abdul Aziz Al-Dhufyan dan Leftenan Muda Ziyad Al-Otaibi.

Helikopter itu terbang dari Jeddah dengan ketinggian 12,192 meter dan pada kelajuan 148 kilometer sejam.

Penerbangannya melalui daerah tengah Makkah dan jurugambar Arab News berjaya merakam beberapa foto seluruh bandar raya Makkah dari pelbagai sudut. Ia turut memfokus kepada Jam Makkah di Menara Yayasan Raja Abdul Aziz. Helikopter juga terbang melalui Misfala, Kuday, Ajyad, Hafair, Hajoun dan Aziziya yang dipenuhi kenderaan membawa jemaah dan pengunjung.

Helikopter yang berfungsi untuk melakukan operasi mencari, menyelamat dan memadam kebakaran serta membawa pesakit itu terbang selama satu jam 30 minit. Sementara Ramadan memasuki 10 hari terakhir bermula Sabtu lalu, masjid di seluruh Arab Saudi mula menunaikan ibadah Qiamullail.

“Solat khas itu dilakukan ketika 10 hari terakhir mulai jam 1 pagi,” kata imam Masjid Sheebani di daerah Nasseriyah di Riyadh, Mohammed Obaidullah.

Sepuluh hari terakhir Ramadan amat penting kerana al-Quran diturunkan buat kali pertama kepada Nabi Muhammad (SAW) pada malam Lailatul Qadar.

Sumber: myMetro (23 Ogos 2011)

Untuk seketika, terdetik satu persoalan di fikiran saya.

Benarkah Tuhan suruh manusia menanti-nanti sambil melakukan upacara ritual pada suatu malam yang kononnya malam tersebut mendapat keberkatan “Lailatul Qadar”?

Apakah itu “Lailatul Qadar”?

Dalam Al-Quran, memang terdapat perkataan tersebut. Mari kita semak sama-sama.

97:1. Sesungguhnya, Kami menurunkannya (Al-Quran) pada malam yang berkuasa.

97:2. Dan tahukah kamu apakah ia malam yang berkuasa?

97:3. Malam yang berkuasa adalah lebih baik daripada seribu bulan,

97:4. Padanya malaikat-malaikat dan Roh turun, dengan izin Pemelihara mereka, dengan segala perintah,

97:5. Sejahteralah ia, hingga terbit fajar.

Transliterasi: Surah ke-97.

1 Inna anzalnahu fee laylati alqadri
2 Wama adraka ma laylatu alqadri
3 Laylatu alqadri khayrun min alfi shahrin
4 Tanazzalu almalaikatu waalrroohu feeha biithni rabbihim min kulli amrin
5 Salamun hiya hatta matlaAAi alfajri

Saya berpendapat, malam tersebut telah berlalu. Tidak ada lagi ‘malam yang berkuasa’ itu. Jadi, penantian para ritualis ini adalah sia-sia. Dengan berkumpul beramai-ramai sehingga menjadi terlalu sesak akan menyebabkan berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Sebagai Pentadbir sekalian alam, Tuhan tidak akan suruh manusia beritual di sekeliling kiub batu sambil menanti-nanti malam yang berkuasa itu. Ia hanyalah mainan amalan orang-orang yang menyekutukanNya dan tidak mahu menggunakan minda.

JEDDAH: Pihak berkuasa Makkah menggunakan alat berteknologi tinggi untuk mengawal bilangan jemaah yang memasuki Masjidil Haram pada 10 hari terakhir Ramadan, menurut laporan akhbar Al-Yaum.

Peralatan itu digunakan di semua pagar Masjidil Haram bagi menganggarkan bilangan jemaah umrah dan pengunjung.

Pihak berkuasa cuba mengekang kebanyakan pekerja yang memasuki masjid berkenaan pada 10 hari terakhir untuk menunaikan tawaf dan membaca al-Quran dengan pakaian kerja mereka. Keadaan ini menyebabkan ketidakselesaan kepada jemaah umrah.

Pihak berkuasa juga cuba memastikan pengunjung yang tidak menunaikan umrah tidak tidur di tempat terbuka dan menghalang laluan.

Terdapat lebih ramai jemaah menunaikan tawaf di kaabah ketika 10 hari terakhir Ramadan berbanding pada waktu haji. Keadaan ini disebabkan oleh jemaah haji hanya perlu tawaf di kaabah pada waktu ditentukan. Masjidil Haram turut sesak kerana jemaah umrah beriktikaf di masjid hingga akhir Ramadan. – SG

Sumber: myMetro (23 Ogos 2011)

Inilah akibatnya jika tidak mahu mengikut petunjuk Tuhan dalam Al-Quran. Mereka tidak mahu menggunakan minda untuk berfikir.

Kalaulah benar bahawa setiap manusia yang beragama Islam perlu berkunjung ke tempat itu, pasti huru-hara. Kita sendiri dapat membayangkan lautan manusia yang lebih ramai. Kalau ada manfaat, tidak apalah juga.

Setiap apa yang Tuhan suruh dan larang pasti ada manfaatnya kepada kita. Namun, apabila ada manusia yang berani mengatakan sesuatu yang bukan datang daripada Tuhan pasti akan mengundang mudarat. Sunnah Tuhan, tiada sesiapa yang dapat mengubah.

Itulah buktinya.

Written by syurgaminda

August 23, 2011 at 2:00 pm

Posted in Isu Semasa

Ucap salam tidak semestinya Islam

with 14 comments


Al-Quran dalam Bahasa Arab mengajar kita bagaimana untuk memberi ucapan salam hormat seperti yang dianjurkanNya.

Jika kita membuat semakan dalam Al-Quran, hanya terdapat tiga jenis ucapan sahaja yang disebut iaitu “Salamun alaikum”, “Salamun alaika”, dan “Salam”.

Ketiga-tiga jenis ucapan salam tersebut bermaksud “Sejahtera”, “Kesejahteraan ke atas kamu” atau lazimnya dalam konteks masa kini adalah “Selamat Sejahtera”. ‘Kum’ adalah untuk jamak manakala ‘Ka’ kepada seorang.

Berikut beberapa ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dengan kalimah-kalimah tersebut;

Salam

11:69. Rasul-rasul Kami telah datang kepada Ibrahim dengan berita gembira; mereka berkata, ‘Salam!‘ Dia berkata, ‘Salam’.

25:63. Hamba-hamba Yang Pemurah ialah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati, dan yang, apabila orang-orang yang bodoh berucap kepada mereka, mereka berkata, ‘Salam’.

Salamun alaikum

6:54. Apabila orang-orang yang mempercayai ayat-ayat Kami datang kepada kamu (Muhammad), katakanlah, ‘Salamun alaikum’.

28:55. Apabila mereka mendengar percakapan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya, dan berkata, ‘Bagi kami amalan-amalan kami, dan kamu, amalan-amalan kamu. Salamun alaikum! Kami tidak menginginkan orang-orang yang bodoh’.

Salamun alaika

19:47. Dia berkata, ‘Salaamun alaika!’ Aku akan meminta ampun untuk kamu kepada Pemeliharaku; sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku.

Bagi penganut beragama Islam, terdapat tambahan dan pengubahsuaian dalam ucapan salam hormat Bahasa Arab mereka iaitu “Assalamualaikum” atau lebih cantik lagi ditambah dengan “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu”.

Kita sebenarnya tertanya-tanya bagaimana nabi boleh mencipta ucapan salam seperti  “Assalamualaikum” atau “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu”? Sedangkan ianya jelas telah diajar oleh Tuhan seperti yang terdapat dalam ayat-ayat Al-Quran di atas?

Tidak lain dan tidak bukan ia hanyalah cerita-cerita dongeng riwayat hadis yang di bawa oleh manusia-manusia di kalangan syaitan.

Apabila seseorang memberi salam hormat dengan menggunakan Bahasa Arab seperti di atas, adakah dia seorang muslim yang berpegang kepada Islam?  Jawapannya, tidak semestinya Islam.

Ini kerana, Islam tidak meletakkan penggunaan Bahasa Arab sebagai kayu pengukur.  Sama ada melontarkan ucapan salam hormat dalam Bahasa Arab, Melayu, Inggeris, Cina atau bahasa apa jua sekalipun sebenarnya tidak penting. Apa yang penting setiap terjemahan daripada Bahasa Arab ke dalam bahasa-bahasa asing itu harus membawa maksud yang serupa.

Mungkin amat sesuai bagi orang-orang berbangsa Melayu di kalangan mereka menggunakan ucapan salam hormat seperti “Selamat sejahtera” atau “Salam sejahtera” sahaja tanpa menyukarkan lidah mengungkapkannya dalam Bahasa Arab.

Written by syurgaminda

July 25, 2011 at 3:27 am

Posted in Islam

“Deen” bermaksud Pegangan

with 6 comments


Perdebatan saya dengan Jebon dalam entri ini telah membuka minda saya untuk mengkaji maksud “Deen’ yang lebih sesuai, menurut apa yang saya fahami.

Saya tidak memaksa sesiapa pun untuk menerimanya. Namun, ianya terbuka untuk dibahaskan. Mungkin hasil daripada perbahasan itu nanti akan membuahkan idea yang lebih baik.

Sebelum ini, saya bersetuju bahawa ‘deen’ diterjemahkan sebagai ‘cara hidup’ atau way of life. Setelah mengkaji ayat Al-Quran yang berkaitan, saya berpendapat maksud ‘deen’ ialah Pegangan.

Berikut beberapa ayat Al-Quran yang mengandungi perkataan ‘deen’.

3:19. Pegangan yang benar di sisi Allah ialah Islam (tunduk patuh), dan orang-orang yang diberi al-Kitab tidak berselisih, melainkan setelah pengetahuan datang kepada mereka kerana keangkuhan antara mereka. Dan sesiapa yang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah cepat membuat perhitungan.

Transliterasi:

Inna alddeena AAinda Allahi alislamu wama ikhtalafa allatheena ootoo alkitaba illa min baAAdi ma jaahumu alAAilmu baghyan baynahum waman yakfur biayati Allahi fainna Allaha sareeAAu alhisabi

3:24. Itu ialah kerana mereka mengatakan, “Api tidak akan menyentuh kami kecuali untuk beberapa hari yang terhitung.” Apa yang mereka mengada-adakan menipu mereka dalam pegangan mereka.

Transliterasi:

Thalika biannahum qaloo lan tamassana alnnaru illa ayyaman maAAdoodatin wagharrahum fee deenihim ma kanoo yaftaroona

3:83. Apa, adakah selain daripada pegangan Allah yang mereka menginginkan, dan kepada-Nya tunduk patuh sesiapa yang di langit dan di bumi, dengan rela atau membenci, dan kepada-Nya mereka akan dikembalikan?

Transliterasi:

Afaghayra deeni Allahi yabghoona walahu aslama man fee alssamawati waalardi tawAAan wakarhan wailayhi yurjaAAoona

4:171. Wahai ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan dalam pegangan kamu, dan jangan kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Al-Masih, Isa putera Mariam, hanyalah rasul Allah, dan Kata-Nya yang Dia melemparkan kepada Mariam, dan Roh daripada-Nya. Maka percayalah kepada Allah, dan rasul-rasul-Nya, dan janganlah mengatakan, “Tiga.” Hentikanlah; itu lebih baik bagi kamu. Allah hanyalah Tuhan Yang Satu. Dia disanjung – bahawa Dia mempunyai seorang anak! Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi; cukuplah Allah sebagai wakil.

Transliterasi:

Ya ahla alkitabi la taghloo fee deenikum wala taqooloo AAala Allahi illa alhaqqa innama almaseehu AAeesa ibnu maryama rasoolu Allahi wakalimatuhu alqaha ila maryama waroohun minhu faaminoo biAllahi warusulihi wala taqooloo thalathatun intahoo khayran lakum innama Allahu ilahun wahidun subhanahu an yakoona lahu waladun lahu ma fee alssamawati wama fee alardi wakafa biAllahi wakeelan

Sekali lagi saya tegaskan bahawa perkataan ‘Deen’ yang saya fahami sebagai ‘Pegangan’ bukan mutlak. Ianya terbuka untuk dibahaskan.

Written by syurgaminda

July 10, 2011 at 1:15 pm

Posted in Al-Quran

“Kami sembah Allah, bukan batu!”

with 11 comments


Seringkali, inilah jawapan yang diterima setiap kali diajukan soalan-soalan seperti; “Mengapa perlu mengadap kiub batu di Mekah? Anda sembah Allah atau batu?”

Jawapan yang keluar dari mulut para ritualis Agama Islam ini ialah “Kaabah (kiub batu) adalah kiblat (arah) kami bersembahyang”, “Kami sembah Allah, bukan sembah batu”!

Mari kita kaji secara teliti mengapa mereka menjawab sedemikian.

Pertama, mereka bermati-matian mempertahankan kata-kata mereka bahawa mereka hanya menyembah Tuhan Yang Satu iaitu Allah. Namun, mengapa perlu mengadap, berkunjung dan beritual di tempat di mana batu itu berdiri gah? Bukankah ia bermaksud menyembah batu?

Sepatutnya, jika mereka kata hanya sembah Allah semata-mata, mereka tidak perlu mengadap, berkunjung dan beritual pada kiub batu tersebut. Dalam Al-Quran begitu jelas mengatakan;

2:115. Kepunyaan Allah Timur dan Barat; ke mana sahaja kamu berpaling di situlah wajah Allah; sesungguhnya Allah Merangkumi, Mengetahui.

Di mana-mana sahaja kita berada, di situ ada “Wajah Allah”. Wajah Allah bermaksud ketetapan-ketetapan Allah di alam semesta ini.

Pernah mereka mengemukakan hujah berbunyi begini; “Andaikata “Kaabah” itu musnah, kami tetap bersembahyang kepada Tuhan.” Soalnya, mereka harus mengadap ke mana?

Jika “Kaabah” itu musnah, tentu sekali para pembesar agama akan terkial-kial untuk mencari tempat mengadap yang sesuai atau adakah mereka akan membina “Kaabah” yang baru?

Bayangkan jikalau mereka berada di bulan. Ke arah mana harus mereka mengadap? Bagaimana mereka menentukan arah kiub batu jikalau bumi ini sendiri sentiasa berputar pada paksinya?

Inilah sebab mengapa semua perbuatan menyekutukan Tuhan itu akhirnya membawa kepada sesuatu yang tidak masuk akal.

Mereka sebenarnya mendustai diri mereka sendiri. Dengan mengatakan “Kaabah” itu adalah ‘Rumah Allah’ yang patut dikunjungi, dicium, dikelilingi dan sebagainya, mereka sebenarnya menyembah batu dan menyekutukan Tuhan.

Kita sedia maklum bahawa Allah tidak akan mengampunkan orang-orang yang menyekutukanNya. Inilah yang paling kita takuti.

4:116. Allah tidak mengampunkan apa yang dengan-Nya dipersekutukan, dan Dia mengampunkan yang selain itu kepada siapa yang Dia mengkehendaki, dan sesiapa menyekutukan Allah dengan sesuatu, dia sesat dalam kesesatan yang jauh.

Written by syurgaminda

July 8, 2011 at 6:02 pm

Posted in Agama

Bayangkan jika tiada Agama Islam

with 14 comments


Tuhan menurunkan Al-Quran kepada manusia agar menjadikan ianya sebagai panduan dan petunjuk untuk menjalani kehidupan yang terbaik di alam ini. Bukannya menyuruh manusia untuk mencipta agama seperti Agama Islam.

Para nabi dan rasul terdahulu tidak pernah menganut agama islam. Mereka tidak sembahyang, puasa, berzakat, menunaikan haji, mengucap dua kalimah syahadah atau menjalani ritual-ritual yang lain seperti yang terdapat dalam ritual agama islam.

Misi yang mereka bawa adalah sama, iaitu mengajak semua manusia agar mengabdikan diri kepada Sang Pencipta. Mereka tidak sesekali membina sesuatu objek yang kononnya sebagai arah mengadap atau kiblat termasuklah nabi terakhir yang menyampaikan Al-Quran. Itu semua adalah dakwaan yang diada-adakan oleh para pembesar agama yang mengatas namakan Islam sebagai sebuah agama.

Seperti yang didakwa oleh para pembesar agama, Agama Islam yang mereka cipta ini mengandungi pelbagai peraturan yang jelas menekan dan membelenggu pemikiran manusia.

Kebanyakan suruhan seperti sembahyang lima waktu, puasa di bulan ramadan, beritual di hadapan kiub batu dan sebagainya tidak pernah membawa faedah kepada para pengikut mereka. Malah memberi kesan buruk iaitu bercakaran sesama sendiri, lemah dan ketinggalan dalam bidang-bidang ilmu yang bermanfaat.

Itulah akibat jika mengada-adakan dusta terhadap Tuhan. Mereka kata ia adalah suruhan dan hukum Tuhan. Namun setelah disemak dalam Al-Quran yang juga berfungsi sebagai pembeza, kita tidak menjumpainya.

Cuba bayangkan jika Islam didirikan atas ciri-ciri sebagai sebuah kehidupan yang terbaik dan bukannya sebagai sebuah agama? Jawapannya cukup mudah. Kehidupan manusia akan selamat dan sejahtera. Ini sebenarnya jaminan Tuhan.

6:125. Sesiapa yang Allah menghendaki untuk memberikan petunjuk, Dia melapangkan dadanya untuk Islam; sesiapa yang Dia menghendaki untuk disesatkan, Dia membuatkan dadanya sempit dan sendat, seakan-akan dia mendaki ke langit. Begitulah Allah meletakkan kotoran kepada orang-orang yang tidak mempercayai.

Berdasarkan ayat di atas, ada DUA situasi di sini;

1. Orang yang mengikuti cara hidup Islam – dadanya berasa lapang (pemikiran yang luas)
2. Orang yang menganut Agama Islam – dadanya berasa sempit (pemikiran yang sempit dan terbelenggu).

Buktinya, ada di depan mata kita sendiri.

Written by syurgaminda

July 5, 2011 at 11:30 am

Posted in Islam

Onani adalah hak individu

with 12 comments


Kebanyakan orang apabila mendengar perkataan “Onani”, terbayang di fikirannya tentang air mani yang dikeluarkan sama ada melalui tangan atau menggunakan objek-objek tertentu.

Kita sedia maklum, mengapa ada individu yang beronani? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencapai kepuasan seksualnya sendiri sama ada melibatkan orang lain atau pun untuk dirinya sendiri.

Tujuan orang yang beronani biasanya hanya ingin memuaskan keinginan seksnya sahaja. Setelah melakukan onani, hatinya yang bergelora sebelum itu akan kembali tenang.

Perbuatan onani lazimnya dilakukan tanpa memerlukan individu lain. Jika sebaliknya, ia bergantung kepada status individu itu sendiri sama ada yang sudah atau belum berkahwin. Suami isteri yang melakukan onani sesama sendiri tiada masalah. Namun jika pasangan tersebut tiada apa-apa ikatan, ia juga dipanggil sebagai berzina. Itu cerita lain.

Apa yang saya hendak fokuskan dalam artikel ini ialah tentang onani yang dibuat tanpa melibatkan pasangan. Dengan kata lain, “hanya buat sorang-sorang”. Tiada dalil dalam Al-Quran yang jelas mengenai hukum orang yang melakukan onani.

Namun, kebanyakan para pembesar agama mengharamkan onani atau dalam bahasa pasar adalah ‘melancap’. Maknanya, jika dilakukan akan mendatangkan dosa besar. Dalil utama mereka pada ayat Al-Quran di bawah;

“Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak tercela. Tetapi barangsiapa mau selain yang demikian itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang melewati batas.” (23:5-7)

Saya berpendapat frasa “memelihara kemaluannya” pada ayat tersebut bermakna tidak melakukan persetubuhan kepada selain isteri atau hamba sahaya. Ia bukanlah bermaksud memelihara kemaluan tanpa beronani.

Onani bersendirian adalah hak individu kerana tidak melibatkan kesan mudarat kepada orang lain. Para pembesar agama tidak perlu menjatuhkan hukum begitu dan begini kepada orang lain. Apa jua kesan sama ada untuk jangka pendek atau jangka panjang ia hanyalah kepada individu itu sendiri.

Ia seumpama mandi untuk menghilangkan kotoran di tubuh. Jika tidak mandi, seseorang itu tidak akan berasa selesa. Mandi adalah untuk kepuasan tubuh badan manakala onani adalah sebahagian daripada kepuasan seks.

Written by syurgaminda

June 29, 2011 at 4:25 pm

Posted in Agama

Riwayat hadis: Perosak Al-Quran

with 8 comments


Al-Quran yang diturunkan melalui pesuruh Tuhan bertujuan sebagai satu panduan kepada semua manusia agar menjadi insan yang benar-benar diinginiNya.

Di dalamnya terdapat berbagai-bagai kisah para nabi yang menjadi pelajaran kepada manusia, suruhan dan larangan yang tidak patut untuk dilakukan.

Sebagai ganjaran kepada manusia yang muslim, Tuhan menjanjikan tempat kediaman yang baik dan sebaliknya manusia yang engkar, ditempat di sebuah tempat kediaman yang buruk. Sehingga hari ini, tidak ada kitab yang lengkap seperti Al-Quran.

Selepas Al-Quran diturunkan, selama beberapa ribu tahun muncul pula kitab-kitab tulisan manusia yang dipanggil sebagai hadis atau percakapan dan perbuatan nabi terakhir. Hadis-hadis ini dikumpul melalui sanad atau rantaian orang-orang yang dipercayai sehinggalah kononnya yang berakhir pada orang sebelum nabi.

Fungsi yang ingin ditonjolkan dalam hadis atau riwayat hadis ini adalah sebagai penjelasan kepada Al-Quran. Ini adalah  apa yang didakwa oleh para pembesar agama. Jika begitu, secara automatik mereka sudah tidak percaya kepada ayat al-quran di bawah;

10:37. Al-Qur’an ini tidak mungkin diada-adakan oleh selain daripada Allah, tetapi ia adalah satu pengesahan bagi apa yang sebelumnya, dan satu penjelasan Kitab, yang di dalamnya tiada keraguan, daripada Pemelihara semua alam.

Jadi, jelas apa yang dikatakan oleh para pembesar agama itu adalah dusta semata-mata. Mereka hanya mahu orang lain percaya dengan cerita-cerita daripada riwayat hadis. Apabila sudah terperdaya dan taksub kepada riwayat hadis, Al-Quran tidak dipedulikan lagi. Pendek kata, Al-Quran hanya dilagukan manakala riwayat hadis harus difahami. Sedangkan dalam Al-Quran mengatakan;

2:242. Begitulah Allah memperjelaskan ayat-ayat-Nya bagi kamu supaya kamu faham.

3:118. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mengambil sebagai sahabat karib kamu daripada selain kamu. Mereka tidak berhenti-henti hendak menghancurkan kamu; mereka menginginkan untuk menderitakan kamu. Kebencian telah nyata daripada mulut mereka, dan apa yang dada mereka menyembunyikan adalah lebih besar. Maka Kami memperjelaskan kepada kamu ayat-ayat, jika kamu faham.

Apa yang lebih parah ialah terdapat golongan yang mengubah maksud perkataan dalam ayat-ayat Al-Quran meskipun mereka mengetahui maksud yang sebenarnya. Ini bertujuan supaya amalan-amalan yang tidak berfaedah yang terdapat dalam riwayat hadis tidak bertentangan atau selari dengan ayat Al-Quran. Contoh yang jelas adalah seperti perkataan solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.

Sebenarnya, Tuhan sudah memaklumkan perkara ini dalam Al-Quran;

2:75. Adakah kamu sangat menginginkan bahawa mereka akan mempercayai kamu, memandangkan ada segolongan daripada mereka yang mendengarkan perkataan (kalam) Allah, kemudian mengubahnya setelah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahuinya.

Selain itu, jika kita selak kitab-kitab riwayat hadis tidak terdapat suruhan agar manusia menggunakan akal. Para pembesar agama juga akan mengecop ‘sesat’ kepada mereka yang mahu menggunakan akal.

Namun lain pula dengan Al-Quran. Banyak ayat-ayat Al-Quran yang menyarankannya. Malah orang yang tidak menggunakan akal dikatakan sebagai haiwan yang terlalu buruk pada pandangan Tuhan;

8:22. Sesungguhnya seburuk-buruk haiwan pada pandangan Allah ialah orang-orang yang pekak, dan bisu, dan tidak menggunakan akal.

Persoalannya, mengapa masih banyak manusia yang mengaku ‘umat islam’ hari ini yang percaya dan taksub kepada riwayat hadis sedangkan ia umpama ulat yang merosakkan dedaun?

Written by syurgaminda

June 27, 2011 at 1:04 am

Posted in Al-Quran

Roket versus buraq

with 11 comments


Kita bersyukur, sejak terciptanya roket manusia mendapat pelbagai manfaat daripadanya. Satelit yang dihantar oleh roket berupaya untuk mendapatkan imej dan keadaan bentuk muka bumi sebenar-benarnya. Ini termasuklah imej alam cakerawala seperti matahari, planet-planet, bintang-bintang, bulan dan segala yang ada di angkasa lepas.

Manusia yang bergelar angkasawan dapat menembusi langit untuk mengkaji dan terus mengkaji ruang angkasa yang tidak pernah dijelajahi sebelum itu. Seterusnya hasil kajian mereka digunakan dalam bidang-bidang tertentu demi kepentingan manusia seluruhnya bukan untuk dibuat barang permainan!

Menurut sumber yang dipetik daripada Wikipedia;

Roket merupakan pesawat, peluru berpandu, atau kapal terbang yang menghasilkan tujahan melalui tindak balas kepada ekzos dari enjin roket. Ekzos ini terhasil dari satu atau lebih bahan api yang dibawa dalam roket sebelum dilancarkan. Tujahan ini digambarkan mengikut Hukum Pergerakan Newton ke-3. Sering kali takrifan roket digunakan untuk merujuk kepada enjin roket.

Kepercayaan orang-orang terdahulu bahawa bumi ini berbentuk datar adalah sekadar omong kosong semata-mata. Mereka hanya bermain prasangka tanpa mengemukakan sebarang bukti. Orang yang tidak mahu menggunakan minda dan hanya tahu menurut membuta-tuli, akan percaya cerita dongeng tersebut.

Akhirnya teori itu tidak dapat disahkan kebenarannya apabila imej bumi yang dipaparkan melalui satelit di angkasa menjelaskan segala-galanya.

Sekiranya manusia hanya sibuk untuk melakukan amalan ritual seharian dan langsung tidak terfikir untuk mencipta kuasa yang boleh menembusi langit, sampai kiamatlah mereka ditipu hidup-hidup dengan mitos tersebut.

Sedangkan dalam Al-Quran Tuhan memberi petunjuk bahawa golongan manusia dan jin boleh tembusi langit dengan satu kuasa.

55:33. Wahai golongan jin dan manusia, jika kamu boleh menembus pembatasan langit dan bumi, tembusilah! Kamu tidak menembusinya kecuali dengan satu kuasa.

Mengapa Tuhan tidak beritahu apakah kuasa tersebut? Jawapannya ada dalam Al-Quran sendiri.

3:190. Sesungguhnya dalam ciptaan langit dan bumi, dan dalam pergantian malam dan siang, terdapat ayat-ayat bagi orang-orang yang mempunyai minda,

38:29. Sebuah Kitab Kami menurunkan kepada kamu, diberkati, supaya mereka mengingati, dan supaya orang-orang yang mempunyai minda merenungkan ayat-ayatnya.

Orang-orang yang mempunyai minda tentu akan membuat penyelidikan bagaimana mereka dapat mencipta kuasa tersebut. Namun bagi orang-orang yang tidak mempunyai minda, mereka sekadar percaya cakap-cakap pembesar agama mereka bahawa kuasa itu adalah binatang buraq yang menjadi kenderaan nabi untuk naik ke langit.

Written by syurgaminda

June 24, 2011 at 2:49 am

‘Bir Halal’ jadi haram

leave a comment »


“JOHOR BAHRU: Mengejutkan apabila ujian makmal yang dijalankan terhadap minuman yang popular sebagai `bir halal’ di kalangan pengguna Islam dikesan mengandungi alkohol pada kadar melebihi jumlah dibenarkan syariat.
Penemuan kandungan alkohol sebanyak 0.5 peratus itu terbongkar selepas pengguna yang meragui minuman itu membuat aduan kepada Jabatan Agama Johor (JAJ) dengan membawa sendiri ‘bir halal’ itu untuk dianalisis, seterusnya mendapatkan kepastian.

Menurut sumber, JAJ kemudian menghantar sampel minuman ke Jabatan Kimia untuk pengesahan dan hasil ujian makmal yang dijalankan mendapati bir halal diperbuat daripada pelbagai perisa buah-buahan itu mengandungi 0.5 peratus kandungan alkohol.
“Berikutan penemuan itu, JAJ memaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Isu ‘bir halal’ memang hangat diperkatakan sekarang ini. Terkini, pembesar-pembesar agama menasihati para pengguna yang beragama islam agar tidak terburu-buru membuat keputusan untuk meminum ‘bir halal’ ini. Ia akan dikaji dan dianalisis oleh pihak tertentu dan akan diputuskan sama ada bir ini halal atau haram untuk diminum.

Menurut sumber yang dipetik di atas, kandungan alkohol yang terdapat pada minuman tersebut adalah kira-kira 0.5 peratus sahaja.

Persoalannya, apakah dengan kandungan alkohol yang teramat kecil ini pembesar agama akan mengisytiharkan ‘bir halal’ itu akan menjadi haram? Jika kandungannya tinggi sekalipun, apakah mereka mempunyai kuasa untuk menghalang orang daripada meminumnya? Apakah terdapat dalam Al-Quran sendiri bahawa Tuhan membenarkan peminum arak untuk dihukum?

Dalam Al-Quran, Tuhan hanya menyebut bahawa;

2:219. Mereka menanyai kamu mengenai arak dan judi. Katakanlah, “Pada keduanya dosa besar, dan beberapa manfaat kepada manusia, tetapi dosanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.” Dan mereka menanyai kamu mengenai apa yang mereka patut menafkahkan. Katakanlah, “Yang berlebihan.” Begitulah Allah memperjelaskan ayat-ayat kepada kamu supaya kamu memikirkan.

Meskipun Tuhan menyatakan arak dan judi adalah dosa besar, terdapat beberapa manfaat kepada manusia. Dan di akhir ayat di atas, hanya ‘yang berlebihan’ sahaja yang patut kita nafkahkan untuk kedua-duanya. Maksudnya, jika ada duit lebih barulah boleh meminum arak dan bermain judi.

5:90. Wahai orang-orang yang percaya, arak, dan judi, dan berhala-berhala, dan ramalan anak-anak panah, adalah kotoran, sebahagian daripada amalan syaitan; maka jauhilah ia agar kamu beruntung.

Pun begitu dalam ayat 5:90, Tuhan menyarankan kepada kita agar menjauhi arak kerana ia adalah kotoran dan sebahagian daripada amalan syaitan. Banyak keuntungan yang kita perolehi termasuklah wang yang lebih itu digunakan untuk perkara-perkara yang lebih mustahak.

Jadi, dengan menguatkuasakan hukuman meminum arak dan menentukan sesuatu minuman beralkohol itu haram untuk diminum adalah sesuatu yang diada-adakan oleh pembesar agama.

Tuhan sendiri pun tidak pernah mengatakan ia adalah haram atau harus dikenakan tindakan terhadap individu yang meminumnya. Tuhan cuma menyuruh untuk menjauhinya sahaja kerana kita akan dapat keuntungan jika dapat berbuat demikian.

Written by syurgaminda

June 23, 2011 at 11:36 am

Posted in Isu Semasa