syurgaminda ku di sini…

Islam adalah pegangan ku

Archive for June 2011

Onani adalah hak individu

with 12 comments


Kebanyakan orang apabila mendengar perkataan “Onani”, terbayang di fikirannya tentang air mani yang dikeluarkan sama ada melalui tangan atau menggunakan objek-objek tertentu.

Kita sedia maklum, mengapa ada individu yang beronani? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencapai kepuasan seksualnya sendiri sama ada melibatkan orang lain atau pun untuk dirinya sendiri.

Tujuan orang yang beronani biasanya hanya ingin memuaskan keinginan seksnya sahaja. Setelah melakukan onani, hatinya yang bergelora sebelum itu akan kembali tenang.

Perbuatan onani lazimnya dilakukan tanpa memerlukan individu lain. Jika sebaliknya, ia bergantung kepada status individu itu sendiri sama ada yang sudah atau belum berkahwin. Suami isteri yang melakukan onani sesama sendiri tiada masalah. Namun jika pasangan tersebut tiada apa-apa ikatan, ia juga dipanggil sebagai berzina. Itu cerita lain.

Apa yang saya hendak fokuskan dalam artikel ini ialah tentang onani yang dibuat tanpa melibatkan pasangan. Dengan kata lain, “hanya buat sorang-sorang”. Tiada dalil dalam Al-Quran yang jelas mengenai hukum orang yang melakukan onani.

Namun, kebanyakan para pembesar agama mengharamkan onani atau dalam bahasa pasar adalah ‘melancap’. Maknanya, jika dilakukan akan mendatangkan dosa besar. Dalil utama mereka pada ayat Al-Quran di bawah;

“Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak tercela. Tetapi barangsiapa mau selain yang demikian itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang melewati batas.” (23:5-7)

Saya berpendapat frasa “memelihara kemaluannya” pada ayat tersebut bermakna tidak melakukan persetubuhan kepada selain isteri atau hamba sahaya. Ia bukanlah bermaksud memelihara kemaluan tanpa beronani.

Onani bersendirian adalah hak individu kerana tidak melibatkan kesan mudarat kepada orang lain. Para pembesar agama tidak perlu menjatuhkan hukum begitu dan begini kepada orang lain. Apa jua kesan sama ada untuk jangka pendek atau jangka panjang ia hanyalah kepada individu itu sendiri.

Ia seumpama mandi untuk menghilangkan kotoran di tubuh. Jika tidak mandi, seseorang itu tidak akan berasa selesa. Mandi adalah untuk kepuasan tubuh badan manakala onani adalah sebahagian daripada kepuasan seks.

Written by syurgaminda

June 29, 2011 at 4:25 pm

Posted in Agama

Riwayat hadis: Perosak Al-Quran

with 8 comments


Al-Quran yang diturunkan melalui pesuruh Tuhan bertujuan sebagai satu panduan kepada semua manusia agar menjadi insan yang benar-benar diinginiNya.

Di dalamnya terdapat berbagai-bagai kisah para nabi yang menjadi pelajaran kepada manusia, suruhan dan larangan yang tidak patut untuk dilakukan.

Sebagai ganjaran kepada manusia yang muslim, Tuhan menjanjikan tempat kediaman yang baik dan sebaliknya manusia yang engkar, ditempat di sebuah tempat kediaman yang buruk. Sehingga hari ini, tidak ada kitab yang lengkap seperti Al-Quran.

Selepas Al-Quran diturunkan, selama beberapa ribu tahun muncul pula kitab-kitab tulisan manusia yang dipanggil sebagai hadis atau percakapan dan perbuatan nabi terakhir. Hadis-hadis ini dikumpul melalui sanad atau rantaian orang-orang yang dipercayai sehinggalah kononnya yang berakhir pada orang sebelum nabi.

Fungsi yang ingin ditonjolkan dalam hadis atau riwayat hadis ini adalah sebagai penjelasan kepada Al-Quran. Ini adalah  apa yang didakwa oleh para pembesar agama. Jika begitu, secara automatik mereka sudah tidak percaya kepada ayat al-quran di bawah;

10:37. Al-Qur’an ini tidak mungkin diada-adakan oleh selain daripada Allah, tetapi ia adalah satu pengesahan bagi apa yang sebelumnya, dan satu penjelasan Kitab, yang di dalamnya tiada keraguan, daripada Pemelihara semua alam.

Jadi, jelas apa yang dikatakan oleh para pembesar agama itu adalah dusta semata-mata. Mereka hanya mahu orang lain percaya dengan cerita-cerita daripada riwayat hadis. Apabila sudah terperdaya dan taksub kepada riwayat hadis, Al-Quran tidak dipedulikan lagi. Pendek kata, Al-Quran hanya dilagukan manakala riwayat hadis harus difahami. Sedangkan dalam Al-Quran mengatakan;

2:242. Begitulah Allah memperjelaskan ayat-ayat-Nya bagi kamu supaya kamu faham.

3:118. Wahai orang-orang yang percaya, janganlah mengambil sebagai sahabat karib kamu daripada selain kamu. Mereka tidak berhenti-henti hendak menghancurkan kamu; mereka menginginkan untuk menderitakan kamu. Kebencian telah nyata daripada mulut mereka, dan apa yang dada mereka menyembunyikan adalah lebih besar. Maka Kami memperjelaskan kepada kamu ayat-ayat, jika kamu faham.

Apa yang lebih parah ialah terdapat golongan yang mengubah maksud perkataan dalam ayat-ayat Al-Quran meskipun mereka mengetahui maksud yang sebenarnya. Ini bertujuan supaya amalan-amalan yang tidak berfaedah yang terdapat dalam riwayat hadis tidak bertentangan atau selari dengan ayat Al-Quran. Contoh yang jelas adalah seperti perkataan solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.

Sebenarnya, Tuhan sudah memaklumkan perkara ini dalam Al-Quran;

2:75. Adakah kamu sangat menginginkan bahawa mereka akan mempercayai kamu, memandangkan ada segolongan daripada mereka yang mendengarkan perkataan (kalam) Allah, kemudian mengubahnya setelah mereka memahaminya, sedang mereka mengetahuinya.

Selain itu, jika kita selak kitab-kitab riwayat hadis tidak terdapat suruhan agar manusia menggunakan akal. Para pembesar agama juga akan mengecop ‘sesat’ kepada mereka yang mahu menggunakan akal.

Namun lain pula dengan Al-Quran. Banyak ayat-ayat Al-Quran yang menyarankannya. Malah orang yang tidak menggunakan akal dikatakan sebagai haiwan yang terlalu buruk pada pandangan Tuhan;

8:22. Sesungguhnya seburuk-buruk haiwan pada pandangan Allah ialah orang-orang yang pekak, dan bisu, dan tidak menggunakan akal.

Persoalannya, mengapa masih banyak manusia yang mengaku ‘umat islam’ hari ini yang percaya dan taksub kepada riwayat hadis sedangkan ia umpama ulat yang merosakkan dedaun?

Written by syurgaminda

June 27, 2011 at 1:04 am

Posted in Al-Quran

Roket versus buraq

with 11 comments


Kita bersyukur, sejak terciptanya roket manusia mendapat pelbagai manfaat daripadanya. Satelit yang dihantar oleh roket berupaya untuk mendapatkan imej dan keadaan bentuk muka bumi sebenar-benarnya. Ini termasuklah imej alam cakerawala seperti matahari, planet-planet, bintang-bintang, bulan dan segala yang ada di angkasa lepas.

Manusia yang bergelar angkasawan dapat menembusi langit untuk mengkaji dan terus mengkaji ruang angkasa yang tidak pernah dijelajahi sebelum itu. Seterusnya hasil kajian mereka digunakan dalam bidang-bidang tertentu demi kepentingan manusia seluruhnya bukan untuk dibuat barang permainan!

Menurut sumber yang dipetik daripada Wikipedia;

Roket merupakan pesawat, peluru berpandu, atau kapal terbang yang menghasilkan tujahan melalui tindak balas kepada ekzos dari enjin roket. Ekzos ini terhasil dari satu atau lebih bahan api yang dibawa dalam roket sebelum dilancarkan. Tujahan ini digambarkan mengikut Hukum Pergerakan Newton ke-3. Sering kali takrifan roket digunakan untuk merujuk kepada enjin roket.

Kepercayaan orang-orang terdahulu bahawa bumi ini berbentuk datar adalah sekadar omong kosong semata-mata. Mereka hanya bermain prasangka tanpa mengemukakan sebarang bukti. Orang yang tidak mahu menggunakan minda dan hanya tahu menurut membuta-tuli, akan percaya cerita dongeng tersebut.

Akhirnya teori itu tidak dapat disahkan kebenarannya apabila imej bumi yang dipaparkan melalui satelit di angkasa menjelaskan segala-galanya.

Sekiranya manusia hanya sibuk untuk melakukan amalan ritual seharian dan langsung tidak terfikir untuk mencipta kuasa yang boleh menembusi langit, sampai kiamatlah mereka ditipu hidup-hidup dengan mitos tersebut.

Sedangkan dalam Al-Quran Tuhan memberi petunjuk bahawa golongan manusia dan jin boleh tembusi langit dengan satu kuasa.

55:33. Wahai golongan jin dan manusia, jika kamu boleh menembus pembatasan langit dan bumi, tembusilah! Kamu tidak menembusinya kecuali dengan satu kuasa.

Mengapa Tuhan tidak beritahu apakah kuasa tersebut? Jawapannya ada dalam Al-Quran sendiri.

3:190. Sesungguhnya dalam ciptaan langit dan bumi, dan dalam pergantian malam dan siang, terdapat ayat-ayat bagi orang-orang yang mempunyai minda,

38:29. Sebuah Kitab Kami menurunkan kepada kamu, diberkati, supaya mereka mengingati, dan supaya orang-orang yang mempunyai minda merenungkan ayat-ayatnya.

Orang-orang yang mempunyai minda tentu akan membuat penyelidikan bagaimana mereka dapat mencipta kuasa tersebut. Namun bagi orang-orang yang tidak mempunyai minda, mereka sekadar percaya cakap-cakap pembesar agama mereka bahawa kuasa itu adalah binatang buraq yang menjadi kenderaan nabi untuk naik ke langit.

Written by syurgaminda

June 24, 2011 at 2:49 am

‘Bir Halal’ jadi haram

leave a comment »


“JOHOR BAHRU: Mengejutkan apabila ujian makmal yang dijalankan terhadap minuman yang popular sebagai `bir halal’ di kalangan pengguna Islam dikesan mengandungi alkohol pada kadar melebihi jumlah dibenarkan syariat.
Penemuan kandungan alkohol sebanyak 0.5 peratus itu terbongkar selepas pengguna yang meragui minuman itu membuat aduan kepada Jabatan Agama Johor (JAJ) dengan membawa sendiri ‘bir halal’ itu untuk dianalisis, seterusnya mendapatkan kepastian.

Menurut sumber, JAJ kemudian menghantar sampel minuman ke Jabatan Kimia untuk pengesahan dan hasil ujian makmal yang dijalankan mendapati bir halal diperbuat daripada pelbagai perisa buah-buahan itu mengandungi 0.5 peratus kandungan alkohol.
“Berikutan penemuan itu, JAJ memaklumkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Isu ‘bir halal’ memang hangat diperkatakan sekarang ini. Terkini, pembesar-pembesar agama menasihati para pengguna yang beragama islam agar tidak terburu-buru membuat keputusan untuk meminum ‘bir halal’ ini. Ia akan dikaji dan dianalisis oleh pihak tertentu dan akan diputuskan sama ada bir ini halal atau haram untuk diminum.

Menurut sumber yang dipetik di atas, kandungan alkohol yang terdapat pada minuman tersebut adalah kira-kira 0.5 peratus sahaja.

Persoalannya, apakah dengan kandungan alkohol yang teramat kecil ini pembesar agama akan mengisytiharkan ‘bir halal’ itu akan menjadi haram? Jika kandungannya tinggi sekalipun, apakah mereka mempunyai kuasa untuk menghalang orang daripada meminumnya? Apakah terdapat dalam Al-Quran sendiri bahawa Tuhan membenarkan peminum arak untuk dihukum?

Dalam Al-Quran, Tuhan hanya menyebut bahawa;

2:219. Mereka menanyai kamu mengenai arak dan judi. Katakanlah, “Pada keduanya dosa besar, dan beberapa manfaat kepada manusia, tetapi dosanya adalah lebih besar daripada manfaatnya.” Dan mereka menanyai kamu mengenai apa yang mereka patut menafkahkan. Katakanlah, “Yang berlebihan.” Begitulah Allah memperjelaskan ayat-ayat kepada kamu supaya kamu memikirkan.

Meskipun Tuhan menyatakan arak dan judi adalah dosa besar, terdapat beberapa manfaat kepada manusia. Dan di akhir ayat di atas, hanya ‘yang berlebihan’ sahaja yang patut kita nafkahkan untuk kedua-duanya. Maksudnya, jika ada duit lebih barulah boleh meminum arak dan bermain judi.

5:90. Wahai orang-orang yang percaya, arak, dan judi, dan berhala-berhala, dan ramalan anak-anak panah, adalah kotoran, sebahagian daripada amalan syaitan; maka jauhilah ia agar kamu beruntung.

Pun begitu dalam ayat 5:90, Tuhan menyarankan kepada kita agar menjauhi arak kerana ia adalah kotoran dan sebahagian daripada amalan syaitan. Banyak keuntungan yang kita perolehi termasuklah wang yang lebih itu digunakan untuk perkara-perkara yang lebih mustahak.

Jadi, dengan menguatkuasakan hukuman meminum arak dan menentukan sesuatu minuman beralkohol itu haram untuk diminum adalah sesuatu yang diada-adakan oleh pembesar agama.

Tuhan sendiri pun tidak pernah mengatakan ia adalah haram atau harus dikenakan tindakan terhadap individu yang meminumnya. Tuhan cuma menyuruh untuk menjauhinya sahaja kerana kita akan dapat keuntungan jika dapat berbuat demikian.

Written by syurgaminda

June 23, 2011 at 11:36 am

Posted in Isu Semasa

Solat bukan sembahyang

with 13 comments


Dalam agama islam, ritual yang bermula dan berakhir dengan cara-cara tertentu mereka namakan sebagai ‘solat’ dan ianya juga dipanggil sebagai ‘sembahyang’.

Bilangan sembahyang mereka berbeza-beza mengikut kepercayaan tok guru masing-masing. Namun begitu, rata-rata penganutnya bersembahyang sebanyak lima kali sehari. Tumpuan mengadap mereka semestinya kiub batu yang terdapat di Mekah.

Apabila mereka ditanya adakah orang-orang yang beragama hindu, kristian, yahudi atau buddha juga bersolat? Mereka akan jawab, “Tidak, mereka hanya sembahyang bukan bersolat!”

Kalau mereka katakan orang-orang yang berbeza agama daripada mereka bukan bersolat dan hanya bersembahyang, jadi mengapa mereka mendakwa hanya mereka bersolat atau bersembahyang?

Mari kita semak dalam Al-Quran, benarkah perkataan ‘solat’ itu bermaksud sembahyang atau mempunyai pengertian yang lain.

24:41. Tidakkah kamu melihat bagaimana segala yang di langit dan di bumi menyanjung Allah, dan burung-burung mengembangkan sayap-sayap mereka? Masing-masing – Dia mengetahui solatnya, dan sanjungannya; dan Allah mengetahui apa yang mereka buat.

Dalam ayat di atas, segala yang ada di langit dan di bumi termasuk burung-burung tahu solat mereka. Jika solat ini dimengertikan sebagai sembahyang orang-orang beragama islam, maka segala isi alam termasuk di langit dan bumi harus melakukan ritual sembahyang yang sama sebagaimana yang dilakukan oleh penganut beragama islam.

Ini sesuatu yang tidak masuk akal. Mereka hanya mendakwa sedemikian tanpa berpandukan petunjuk yang terdapat dalam Al-Quran. Apa yang penting bagi mereka ialah dapat mempromosikan ritual tersebut dan seterusnya menambahkan bilangan pengikut agama mereka.

Written by syurgaminda

June 21, 2011 at 4:10 pm

Posted in Agama

Ragam penyekutu-penyekutu Tuhan

with 2 comments


3:137. Berbagai-bagai sunnah (resam) telah berlalu sebelum kamu, maka mengembaralah di bumi, dan perhatikanlah bagaimana kesudahannya orang-orang yang mendustakan.

30:42. Katakanlah, “Mengembaralah di bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahannya orang-orang sebelum mereka; kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang yang menyekutukan.”

Jika kita seorang yang gemar mengembara, meneroka atau melancong kita akan nampak berbagai-bagai jenis dan ragam manusia di bumi ini. Ada yang bersifat baik, berlaku zalim, prihatin dan macam-macam lagi.

Mengapa Tuhan suruh kita mengembara? Seperti yang kita sedia maklum, ada banyak manfaat yang kita perolehi. Salah satunya ialah dapat menimba banyak pengalaman dan mengisi ilmu di dada.

Dalam dua ayat Al-Quran di atas Tuhan memberitahu bahawa kita akan nampak akibat kepada orang-orang yang mendustakanNya dan menyekutukanNya.

Apakah akibat tersebut? Bukankah kita tidak sedar nasib di sesetengah negara. Mereka kaya dengan bahan mentah namun tetap ketinggalan berbanding negara yang tidak memiliki sumber tersebut. Dan ada banyak akibat lagi.

Selain itu, kebanyakan manusia tidak berterima kasih kepada penciptaNya. Sudahlah diberikan tubuh badan yang sempurna, tetapi masih mahu menyekutukan Tuhan. Apabila diberi peringatan, mereka bertempiaran lari. Yang ada kuasa agama terus menerus dengan lantang menyesatkan orang lain.

32:9. Kemudian Dia membentuknya, dan menghembuskan Roh-Nya ke dalamnya. Dan Dia membuatkan bagi kamu pendengaran, dan penglihatan, dan hati; sedikit terima kasih kamu menunjukkan.

Tidakkah mereka tahu bahawa sebelum mereka dilahirkan di dunia ini, mereka telah membuat perjanjian untuk tidak menyekutukan penciptaNya?

36:60. Tidakkah Aku membuat perjanjian dengan kamu, wahai Bani Adam, bahawa kamu tidak mengabdikan diri kepada syaitan – sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu,

36:61. Dan bahawa kamu hendaklah mengabdikan diri kepada Aku? Inilah jalan lurus.

Mungkin, dengan adanya kemudahan internet hari ini kita tidak perlu menaiki kapal terbang untuk memperhatikan ragam para penyekutu Tuhan. Hanya perlu mengembara dan menerokai alam siber ini.

Written by syurgaminda

June 20, 2011 at 4:10 pm

Posted in Islam

Islam: Cara hidup yang benar anjuran Tuhan

with one comment


Apabila ada orang bertanya apakah itu islam, kebanyakannya akan menjawab bahawa islam adalah satu agama yang berasal dari tanah arab, ada solat lima waktu, puasa di bulan ramadan, membayar zakat dan melakukan ibadat haji di Mekah.

Inilah islam yang telah diajar oleh para pembesar agama. Mereka mendefinisikan islam itu dari kaca mata mereka sendiri, bukannya petunjuk yang datang dari kitab Al-Quran.

Sehingga hari ini, kita tidak nampak perbuatan dan perlakuan dalam ibadat mereka mendatangkan manfaat sama ada kepada mereka sendiri atau untuk seluruh manusia. Mereka hanya bermain prasangka bahawa konsep islam sedemikian itulah yang benar sebenar-benarnya.

Sekiranya mereka berlaku jujur pada diri sendiri, mereka akan nampak bahawa dalam Al-Quran jelas dinyatakan;

5:76. Katakanlah, “Adakah kamu mengabdikan, selain daripada Allah, apa yang tidak boleh memudaratkan, atau memanfaatkan kamu? Dan Allah, Dia Yang Mendengar, Yang Mengetahui.”

Dalam ayat di atas, Tuhan suruh manusia untuk mengabdikan diri kepadaNya agar manusia memperolehi apa saja manfaat yang dilakukannya. Saranan daripada pembesar agama tersebut jelas tidak mendatangkan manfaat.

Dalam Al-Quran, Tuhan menyenaraikan perkara-perkara yang jelas memberi manfaat kepada manusia seperti menggunakan akal, berbuat baik dan meninggalkan perbuatan jahat, melaksanakan tanggungjawab yang diberikan, bereksperimen dan sebagainya.

Jika ada manusia memilih cara hidup yang lain, sudah tentu akan memberi kesan kepada dirinya sendiri lebih-lebih lagi mindanya akan terbelenggu dengan kata-kata orang yang mengaku sebagai pakar dalam agama.

Sesungguhnya, Tuhan menciptakan manusia agar menurut cara hidup islam yang dianjurkanNya. Ini bertepatan dengan ayat Al-Quran di bawah.

3:19. Cara hidup yang benar di sisi Allah ialah Islam, dan orang-orang yang diberi al-Kitab tidak berselisih, melainkan setelah pengetahuan datang kepada mereka kerana keangkuhan antara mereka. Dan sesiapa tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah cepat membuat perhitungan.

Written by syurgaminda

June 20, 2011 at 10:57 am

Posted in Islam

Jual organ: Pembesar agama hukum haram

with 8 comments


Niat murni wanita ini tidak boleh dihalalkan apatah lagi jika ia dilakukan untuk membayar hutang along,

Inilah satu kenyataan daripada seorang penasihat majlis agama di negara ini yang jelas tidak mahu menghalalkan niat wanita tersebut untuk menjual organnya.

Persoalannya, apakah terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menegah atau melarang perbuatan sedemikian?

Jika tiada, mengapa ada orang yang sanggup berkata “tidak boleh dihalalkan”?

Apakah mereka tahu bahawa Tuhan melarang perbuatan tersebut?

Saya berpendapat, kita tidak berhak untuk menjatuhkan hukum tersebut kerana ianya adalah hak individu masing-masing. Wanita tersebut sudah bersedia menanggung risiko jika dia meneruskan niatnya. Jadi, kita tidak perlu menghalang beliau apatah lagi beliau amat terdesak untuk melangsaikan hutang suaminya sendiri.

Written by syurgaminda

June 17, 2011 at 6:03 pm

Posted in Isu Semasa

Manusia tidak perlu agama

with 35 comments


Menurut kamus dewan, agama didefinisikan sebagai kepercayaan, ajaran, pegangan, anutan, ikutan, pedoman, petunjuk, ketuhanan, keimanan, din, akidah.

Dalam beragama, pengikutnya diajar tentang bagaimana melakukan upacara-upacara ritual sebagai tatacara untuk menyembah Tuhan.

Setiap agama ada kaedah penyembahan kepada Tuhan masing-masing. Dan yang lebih utama, dalam upacara ritual tersebut ada objek-objek sebagai tempat mengadap.

Sebilangan penganut sesuatu agama menafikan mereka menyembah objek tersebut dan percaya mereka sebenarnya menyembah Tuhan bukannya objek sembahan. Manakala ada sebahagian agama yang lain, objek yang mereka mengadap itu adalah Tuhan mereka.

Agama Islam adalah agama yang mempunyai pengikut yang paling ramai di dunia. Pertambahan pengikut mereka ini adalah disebabkan larangan keras untuk penganut mereka daripada pihak pembesar agama agar tidak meninggalkan agama tersebut.

Jika mereka meneruskan niat, individu tersebut dianggap murtad atau terkeluar dari islam. Malah di sesetengah negara, mereka akan menghukum si pelaku dengan hukuman bunuh. Akhirnya, ugutan sedemikian mengundang rasa takut oleh penganutnya.

Selain itu, pertambahan penganut mereka juga adalah disebabkan oleh faktor perkahwinan orang yang bukan beragama islam dengan penganut beragama islam. Mereka tidak akan membenarkan penganut mereka mengikuti agama yang berlainan daripada agama islam.

Inilah salah satu sebab mengapa manusia tidak perlu kepada agama. Kebebasan individu disekat oleh pihak-pihak tertentu. Malah pembesar-pembesar agama ini seolah-olah berlagak seperti Tuhan yang kononnya tahu di mana individu tersebut harus ditempatkan di akhirat kelak.

Written by syurgaminda

June 16, 2011 at 5:12 pm

Posted in Agama

Setiap manusia perlu kemahiran & kepakaran

with one comment


Manusia yang hidup di muka bumi ini seharusnya memiliki sekurang-kurangnya satu atau dua kemahiran untuk menjadi seorang yang dikatakan pakar.

Mengapa perlunya ada kemahiran setiap individu?

Bayangkan dunia ini dipenuhi dengan pelbagai golongan yang pakar dalam bidang masing-masing. Sudah pasti kehidupan semua insan akan menjadi hebat. Setiap kemahiran dan kepakaran mereka disumbangkan demi manfaat sejagat.

Kita ada pakar dalam bidang perubatan, saintis, kejuruteraan, angkasa lepas, pembinaan, motivasi dan sebagainya. Namun, jika kita terlalu mengharapkan mereka tanpa perlu berusaha untuk menjadi seperti mereka, kita akan ketinggalan dari segenap aspek kehidupan.

Saya bukan mengajak anda untuk menjadi pakar bedah, saintis, jurutera dalam masa yang sama. Memang mustahil untuk dilakukan kerana keterbatasan masa dan sebagainya. Tapi, cukuplah satu atau dua sahaja!

Sama ada kemahiran dan kepakaran yang ada tersebut wujud secara semulajadi atau dipengaruhi oleh persekitaran bukannya mendatangkan masalah. Yang menjadi masalah, ianya kurang atau tidak digilap sepenuhnya. Akhirnya, hilang begitu sahaja.

Oleh itu, setiap individu seharusnya menggali lebih banyak ilmu bagi meningkatkan kemahiran yang sedia ada atau kemahiran yang akan datang.

Namun begitu, perlu kita ingatkan setiap kemahiran dan kepakaran yang ada pada diri sendiri haruslah digunakan pada jalan yang betul, bukannya bagi tujuan yang tidak baik dan mendatangkan beban kepada orang lain.

Inisiatif untuk memajukan diri sendiri, keluarga, dan masyarakat adalah kunci kepada kejayaan sesebuah negara apatah lagi jika majoriti penduduk adalah orang-orang yang berkemahiran tinggi.

Jika ini dapat direalisasikan, dunia ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua insan yang memiliki kepakaran masing-masing tanpa perlu dikongkong oleh pembesar-pembesar agama yang melarang pengikutnya menggunakan akal.

Written by syurgaminda

June 16, 2011 at 5:08 am