syurgaminda ku di sini…

Islam adalah pegangan ku

Archive for the ‘Islam’ Category

Ucap salam tidak semestinya Islam

with 14 comments


Al-Quran dalam Bahasa Arab mengajar kita bagaimana untuk memberi ucapan salam hormat seperti yang dianjurkanNya.

Jika kita membuat semakan dalam Al-Quran, hanya terdapat tiga jenis ucapan sahaja yang disebut iaitu “Salamun alaikum”, “Salamun alaika”, dan “Salam”.

Ketiga-tiga jenis ucapan salam tersebut bermaksud “Sejahtera”, “Kesejahteraan ke atas kamu” atau lazimnya dalam konteks masa kini adalah “Selamat Sejahtera”. ‘Kum’ adalah untuk jamak manakala ‘Ka’ kepada seorang.

Berikut beberapa ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dengan kalimah-kalimah tersebut;

Salam

11:69. Rasul-rasul Kami telah datang kepada Ibrahim dengan berita gembira; mereka berkata, ‘Salam!‘ Dia berkata, ‘Salam’.

25:63. Hamba-hamba Yang Pemurah ialah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati, dan yang, apabila orang-orang yang bodoh berucap kepada mereka, mereka berkata, ‘Salam’.

Salamun alaikum

6:54. Apabila orang-orang yang mempercayai ayat-ayat Kami datang kepada kamu (Muhammad), katakanlah, ‘Salamun alaikum’.

28:55. Apabila mereka mendengar percakapan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya, dan berkata, ‘Bagi kami amalan-amalan kami, dan kamu, amalan-amalan kamu. Salamun alaikum! Kami tidak menginginkan orang-orang yang bodoh’.

Salamun alaika

19:47. Dia berkata, ‘Salaamun alaika!’ Aku akan meminta ampun untuk kamu kepada Pemeliharaku; sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku.

Bagi penganut beragama Islam, terdapat tambahan dan pengubahsuaian dalam ucapan salam hormat Bahasa Arab mereka iaitu “Assalamualaikum” atau lebih cantik lagi ditambah dengan “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu”.

Kita sebenarnya tertanya-tanya bagaimana nabi boleh mencipta ucapan salam seperti  “Assalamualaikum” atau “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu”? Sedangkan ianya jelas telah diajar oleh Tuhan seperti yang terdapat dalam ayat-ayat Al-Quran di atas?

Tidak lain dan tidak bukan ia hanyalah cerita-cerita dongeng riwayat hadis yang di bawa oleh manusia-manusia di kalangan syaitan.

Apabila seseorang memberi salam hormat dengan menggunakan Bahasa Arab seperti di atas, adakah dia seorang muslim yang berpegang kepada Islam?  Jawapannya, tidak semestinya Islam.

Ini kerana, Islam tidak meletakkan penggunaan Bahasa Arab sebagai kayu pengukur.  Sama ada melontarkan ucapan salam hormat dalam Bahasa Arab, Melayu, Inggeris, Cina atau bahasa apa jua sekalipun sebenarnya tidak penting. Apa yang penting setiap terjemahan daripada Bahasa Arab ke dalam bahasa-bahasa asing itu harus membawa maksud yang serupa.

Mungkin amat sesuai bagi orang-orang berbangsa Melayu di kalangan mereka menggunakan ucapan salam hormat seperti “Selamat sejahtera” atau “Salam sejahtera” sahaja tanpa menyukarkan lidah mengungkapkannya dalam Bahasa Arab.

Written by syurgaminda

July 25, 2011 at 3:27 am

Posted in Islam

Bayangkan jika tiada Agama Islam

with 14 comments


Tuhan menurunkan Al-Quran kepada manusia agar menjadikan ianya sebagai panduan dan petunjuk untuk menjalani kehidupan yang terbaik di alam ini. Bukannya menyuruh manusia untuk mencipta agama seperti Agama Islam.

Para nabi dan rasul terdahulu tidak pernah menganut agama islam. Mereka tidak sembahyang, puasa, berzakat, menunaikan haji, mengucap dua kalimah syahadah atau menjalani ritual-ritual yang lain seperti yang terdapat dalam ritual agama islam.

Misi yang mereka bawa adalah sama, iaitu mengajak semua manusia agar mengabdikan diri kepada Sang Pencipta. Mereka tidak sesekali membina sesuatu objek yang kononnya sebagai arah mengadap atau kiblat termasuklah nabi terakhir yang menyampaikan Al-Quran. Itu semua adalah dakwaan yang diada-adakan oleh para pembesar agama yang mengatas namakan Islam sebagai sebuah agama.

Seperti yang didakwa oleh para pembesar agama, Agama Islam yang mereka cipta ini mengandungi pelbagai peraturan yang jelas menekan dan membelenggu pemikiran manusia.

Kebanyakan suruhan seperti sembahyang lima waktu, puasa di bulan ramadan, beritual di hadapan kiub batu dan sebagainya tidak pernah membawa faedah kepada para pengikut mereka. Malah memberi kesan buruk iaitu bercakaran sesama sendiri, lemah dan ketinggalan dalam bidang-bidang ilmu yang bermanfaat.

Itulah akibat jika mengada-adakan dusta terhadap Tuhan. Mereka kata ia adalah suruhan dan hukum Tuhan. Namun setelah disemak dalam Al-Quran yang juga berfungsi sebagai pembeza, kita tidak menjumpainya.

Cuba bayangkan jika Islam didirikan atas ciri-ciri sebagai sebuah kehidupan yang terbaik dan bukannya sebagai sebuah agama? Jawapannya cukup mudah. Kehidupan manusia akan selamat dan sejahtera. Ini sebenarnya jaminan Tuhan.

6:125. Sesiapa yang Allah menghendaki untuk memberikan petunjuk, Dia melapangkan dadanya untuk Islam; sesiapa yang Dia menghendaki untuk disesatkan, Dia membuatkan dadanya sempit dan sendat, seakan-akan dia mendaki ke langit. Begitulah Allah meletakkan kotoran kepada orang-orang yang tidak mempercayai.

Berdasarkan ayat di atas, ada DUA situasi di sini;

1. Orang yang mengikuti cara hidup Islam – dadanya berasa lapang (pemikiran yang luas)
2. Orang yang menganut Agama Islam – dadanya berasa sempit (pemikiran yang sempit dan terbelenggu).

Buktinya, ada di depan mata kita sendiri.

Written by syurgaminda

July 5, 2011 at 11:30 am

Posted in Islam

Ragam penyekutu-penyekutu Tuhan

with 2 comments


3:137. Berbagai-bagai sunnah (resam) telah berlalu sebelum kamu, maka mengembaralah di bumi, dan perhatikanlah bagaimana kesudahannya orang-orang yang mendustakan.

30:42. Katakanlah, “Mengembaralah di bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahannya orang-orang sebelum mereka; kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang yang menyekutukan.”

Jika kita seorang yang gemar mengembara, meneroka atau melancong kita akan nampak berbagai-bagai jenis dan ragam manusia di bumi ini. Ada yang bersifat baik, berlaku zalim, prihatin dan macam-macam lagi.

Mengapa Tuhan suruh kita mengembara? Seperti yang kita sedia maklum, ada banyak manfaat yang kita perolehi. Salah satunya ialah dapat menimba banyak pengalaman dan mengisi ilmu di dada.

Dalam dua ayat Al-Quran di atas Tuhan memberitahu bahawa kita akan nampak akibat kepada orang-orang yang mendustakanNya dan menyekutukanNya.

Apakah akibat tersebut? Bukankah kita tidak sedar nasib di sesetengah negara. Mereka kaya dengan bahan mentah namun tetap ketinggalan berbanding negara yang tidak memiliki sumber tersebut. Dan ada banyak akibat lagi.

Selain itu, kebanyakan manusia tidak berterima kasih kepada penciptaNya. Sudahlah diberikan tubuh badan yang sempurna, tetapi masih mahu menyekutukan Tuhan. Apabila diberi peringatan, mereka bertempiaran lari. Yang ada kuasa agama terus menerus dengan lantang menyesatkan orang lain.

32:9. Kemudian Dia membentuknya, dan menghembuskan Roh-Nya ke dalamnya. Dan Dia membuatkan bagi kamu pendengaran, dan penglihatan, dan hati; sedikit terima kasih kamu menunjukkan.

Tidakkah mereka tahu bahawa sebelum mereka dilahirkan di dunia ini, mereka telah membuat perjanjian untuk tidak menyekutukan penciptaNya?

36:60. Tidakkah Aku membuat perjanjian dengan kamu, wahai Bani Adam, bahawa kamu tidak mengabdikan diri kepada syaitan – sesungguhnya ia musuh yang nyata bagi kamu,

36:61. Dan bahawa kamu hendaklah mengabdikan diri kepada Aku? Inilah jalan lurus.

Mungkin, dengan adanya kemudahan internet hari ini kita tidak perlu menaiki kapal terbang untuk memperhatikan ragam para penyekutu Tuhan. Hanya perlu mengembara dan menerokai alam siber ini.

Written by syurgaminda

June 20, 2011 at 4:10 pm

Posted in Islam

Islam: Cara hidup yang benar anjuran Tuhan

with one comment


Apabila ada orang bertanya apakah itu islam, kebanyakannya akan menjawab bahawa islam adalah satu agama yang berasal dari tanah arab, ada solat lima waktu, puasa di bulan ramadan, membayar zakat dan melakukan ibadat haji di Mekah.

Inilah islam yang telah diajar oleh para pembesar agama. Mereka mendefinisikan islam itu dari kaca mata mereka sendiri, bukannya petunjuk yang datang dari kitab Al-Quran.

Sehingga hari ini, kita tidak nampak perbuatan dan perlakuan dalam ibadat mereka mendatangkan manfaat sama ada kepada mereka sendiri atau untuk seluruh manusia. Mereka hanya bermain prasangka bahawa konsep islam sedemikian itulah yang benar sebenar-benarnya.

Sekiranya mereka berlaku jujur pada diri sendiri, mereka akan nampak bahawa dalam Al-Quran jelas dinyatakan;

5:76. Katakanlah, “Adakah kamu mengabdikan, selain daripada Allah, apa yang tidak boleh memudaratkan, atau memanfaatkan kamu? Dan Allah, Dia Yang Mendengar, Yang Mengetahui.”

Dalam ayat di atas, Tuhan suruh manusia untuk mengabdikan diri kepadaNya agar manusia memperolehi apa saja manfaat yang dilakukannya. Saranan daripada pembesar agama tersebut jelas tidak mendatangkan manfaat.

Dalam Al-Quran, Tuhan menyenaraikan perkara-perkara yang jelas memberi manfaat kepada manusia seperti menggunakan akal, berbuat baik dan meninggalkan perbuatan jahat, melaksanakan tanggungjawab yang diberikan, bereksperimen dan sebagainya.

Jika ada manusia memilih cara hidup yang lain, sudah tentu akan memberi kesan kepada dirinya sendiri lebih-lebih lagi mindanya akan terbelenggu dengan kata-kata orang yang mengaku sebagai pakar dalam agama.

Sesungguhnya, Tuhan menciptakan manusia agar menurut cara hidup islam yang dianjurkanNya. Ini bertepatan dengan ayat Al-Quran di bawah.

3:19. Cara hidup yang benar di sisi Allah ialah Islam, dan orang-orang yang diberi al-Kitab tidak berselisih, melainkan setelah pengetahuan datang kepada mereka kerana keangkuhan antara mereka. Dan sesiapa tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah cepat membuat perhitungan.

Written by syurgaminda

June 20, 2011 at 10:57 am

Posted in Islam