syurgaminda ku di sini…

Islam adalah pegangan ku

Archive for July 2011

Ucap salam tidak semestinya Islam

with 14 comments


Al-Quran dalam Bahasa Arab mengajar kita bagaimana untuk memberi ucapan salam hormat seperti yang dianjurkanNya.

Jika kita membuat semakan dalam Al-Quran, hanya terdapat tiga jenis ucapan sahaja yang disebut iaitu “Salamun alaikum”, “Salamun alaika”, dan “Salam”.

Ketiga-tiga jenis ucapan salam tersebut bermaksud “Sejahtera”, “Kesejahteraan ke atas kamu” atau lazimnya dalam konteks masa kini adalah “Selamat Sejahtera”. ‘Kum’ adalah untuk jamak manakala ‘Ka’ kepada seorang.

Berikut beberapa ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan dengan kalimah-kalimah tersebut;

Salam

11:69. Rasul-rasul Kami telah datang kepada Ibrahim dengan berita gembira; mereka berkata, ‘Salam!‘ Dia berkata, ‘Salam’.

25:63. Hamba-hamba Yang Pemurah ialah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati, dan yang, apabila orang-orang yang bodoh berucap kepada mereka, mereka berkata, ‘Salam’.

Salamun alaikum

6:54. Apabila orang-orang yang mempercayai ayat-ayat Kami datang kepada kamu (Muhammad), katakanlah, ‘Salamun alaikum’.

28:55. Apabila mereka mendengar percakapan yang sia-sia, mereka berpaling daripadanya, dan berkata, ‘Bagi kami amalan-amalan kami, dan kamu, amalan-amalan kamu. Salamun alaikum! Kami tidak menginginkan orang-orang yang bodoh’.

Salamun alaika

19:47. Dia berkata, ‘Salaamun alaika!’ Aku akan meminta ampun untuk kamu kepada Pemeliharaku; sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku.

Bagi penganut beragama Islam, terdapat tambahan dan pengubahsuaian dalam ucapan salam hormat Bahasa Arab mereka iaitu “Assalamualaikum” atau lebih cantik lagi ditambah dengan “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu”.

Kita sebenarnya tertanya-tanya bagaimana nabi boleh mencipta ucapan salam seperti  “Assalamualaikum” atau “Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatu”? Sedangkan ianya jelas telah diajar oleh Tuhan seperti yang terdapat dalam ayat-ayat Al-Quran di atas?

Tidak lain dan tidak bukan ia hanyalah cerita-cerita dongeng riwayat hadis yang di bawa oleh manusia-manusia di kalangan syaitan.

Apabila seseorang memberi salam hormat dengan menggunakan Bahasa Arab seperti di atas, adakah dia seorang muslim yang berpegang kepada Islam?  Jawapannya, tidak semestinya Islam.

Ini kerana, Islam tidak meletakkan penggunaan Bahasa Arab sebagai kayu pengukur.  Sama ada melontarkan ucapan salam hormat dalam Bahasa Arab, Melayu, Inggeris, Cina atau bahasa apa jua sekalipun sebenarnya tidak penting. Apa yang penting setiap terjemahan daripada Bahasa Arab ke dalam bahasa-bahasa asing itu harus membawa maksud yang serupa.

Mungkin amat sesuai bagi orang-orang berbangsa Melayu di kalangan mereka menggunakan ucapan salam hormat seperti “Selamat sejahtera” atau “Salam sejahtera” sahaja tanpa menyukarkan lidah mengungkapkannya dalam Bahasa Arab.

Written by syurgaminda

July 25, 2011 at 3:27 am

Posted in Islam

“Deen” bermaksud Pegangan

with 6 comments


Perdebatan saya dengan Jebon dalam entri ini telah membuka minda saya untuk mengkaji maksud “Deen’ yang lebih sesuai, menurut apa yang saya fahami.

Saya tidak memaksa sesiapa pun untuk menerimanya. Namun, ianya terbuka untuk dibahaskan. Mungkin hasil daripada perbahasan itu nanti akan membuahkan idea yang lebih baik.

Sebelum ini, saya bersetuju bahawa ‘deen’ diterjemahkan sebagai ‘cara hidup’ atau way of life. Setelah mengkaji ayat Al-Quran yang berkaitan, saya berpendapat maksud ‘deen’ ialah Pegangan.

Berikut beberapa ayat Al-Quran yang mengandungi perkataan ‘deen’.

3:19. Pegangan yang benar di sisi Allah ialah Islam (tunduk patuh), dan orang-orang yang diberi al-Kitab tidak berselisih, melainkan setelah pengetahuan datang kepada mereka kerana keangkuhan antara mereka. Dan sesiapa yang tidak percaya kepada ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah cepat membuat perhitungan.

Transliterasi:

Inna alddeena AAinda Allahi alislamu wama ikhtalafa allatheena ootoo alkitaba illa min baAAdi ma jaahumu alAAilmu baghyan baynahum waman yakfur biayati Allahi fainna Allaha sareeAAu alhisabi

3:24. Itu ialah kerana mereka mengatakan, “Api tidak akan menyentuh kami kecuali untuk beberapa hari yang terhitung.” Apa yang mereka mengada-adakan menipu mereka dalam pegangan mereka.

Transliterasi:

Thalika biannahum qaloo lan tamassana alnnaru illa ayyaman maAAdoodatin wagharrahum fee deenihim ma kanoo yaftaroona

3:83. Apa, adakah selain daripada pegangan Allah yang mereka menginginkan, dan kepada-Nya tunduk patuh sesiapa yang di langit dan di bumi, dengan rela atau membenci, dan kepada-Nya mereka akan dikembalikan?

Transliterasi:

Afaghayra deeni Allahi yabghoona walahu aslama man fee alssamawati waalardi tawAAan wakarhan wailayhi yurjaAAoona

4:171. Wahai ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan dalam pegangan kamu, dan jangan kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Al-Masih, Isa putera Mariam, hanyalah rasul Allah, dan Kata-Nya yang Dia melemparkan kepada Mariam, dan Roh daripada-Nya. Maka percayalah kepada Allah, dan rasul-rasul-Nya, dan janganlah mengatakan, “Tiga.” Hentikanlah; itu lebih baik bagi kamu. Allah hanyalah Tuhan Yang Satu. Dia disanjung – bahawa Dia mempunyai seorang anak! Kepunyaan-Nya apa yang di langit dan di bumi; cukuplah Allah sebagai wakil.

Transliterasi:

Ya ahla alkitabi la taghloo fee deenikum wala taqooloo AAala Allahi illa alhaqqa innama almaseehu AAeesa ibnu maryama rasoolu Allahi wakalimatuhu alqaha ila maryama waroohun minhu faaminoo biAllahi warusulihi wala taqooloo thalathatun intahoo khayran lakum innama Allahu ilahun wahidun subhanahu an yakoona lahu waladun lahu ma fee alssamawati wama fee alardi wakafa biAllahi wakeelan

Sekali lagi saya tegaskan bahawa perkataan ‘Deen’ yang saya fahami sebagai ‘Pegangan’ bukan mutlak. Ianya terbuka untuk dibahaskan.

Written by syurgaminda

July 10, 2011 at 1:15 pm

Posted in Al-Quran

“Kami sembah Allah, bukan batu!”

with 11 comments


Seringkali, inilah jawapan yang diterima setiap kali diajukan soalan-soalan seperti; “Mengapa perlu mengadap kiub batu di Mekah? Anda sembah Allah atau batu?”

Jawapan yang keluar dari mulut para ritualis Agama Islam ini ialah “Kaabah (kiub batu) adalah kiblat (arah) kami bersembahyang”, “Kami sembah Allah, bukan sembah batu”!

Mari kita kaji secara teliti mengapa mereka menjawab sedemikian.

Pertama, mereka bermati-matian mempertahankan kata-kata mereka bahawa mereka hanya menyembah Tuhan Yang Satu iaitu Allah. Namun, mengapa perlu mengadap, berkunjung dan beritual di tempat di mana batu itu berdiri gah? Bukankah ia bermaksud menyembah batu?

Sepatutnya, jika mereka kata hanya sembah Allah semata-mata, mereka tidak perlu mengadap, berkunjung dan beritual pada kiub batu tersebut. Dalam Al-Quran begitu jelas mengatakan;

2:115. Kepunyaan Allah Timur dan Barat; ke mana sahaja kamu berpaling di situlah wajah Allah; sesungguhnya Allah Merangkumi, Mengetahui.

Di mana-mana sahaja kita berada, di situ ada “Wajah Allah”. Wajah Allah bermaksud ketetapan-ketetapan Allah di alam semesta ini.

Pernah mereka mengemukakan hujah berbunyi begini; “Andaikata “Kaabah” itu musnah, kami tetap bersembahyang kepada Tuhan.” Soalnya, mereka harus mengadap ke mana?

Jika “Kaabah” itu musnah, tentu sekali para pembesar agama akan terkial-kial untuk mencari tempat mengadap yang sesuai atau adakah mereka akan membina “Kaabah” yang baru?

Bayangkan jikalau mereka berada di bulan. Ke arah mana harus mereka mengadap? Bagaimana mereka menentukan arah kiub batu jikalau bumi ini sendiri sentiasa berputar pada paksinya?

Inilah sebab mengapa semua perbuatan menyekutukan Tuhan itu akhirnya membawa kepada sesuatu yang tidak masuk akal.

Mereka sebenarnya mendustai diri mereka sendiri. Dengan mengatakan “Kaabah” itu adalah ‘Rumah Allah’ yang patut dikunjungi, dicium, dikelilingi dan sebagainya, mereka sebenarnya menyembah batu dan menyekutukan Tuhan.

Kita sedia maklum bahawa Allah tidak akan mengampunkan orang-orang yang menyekutukanNya. Inilah yang paling kita takuti.

4:116. Allah tidak mengampunkan apa yang dengan-Nya dipersekutukan, dan Dia mengampunkan yang selain itu kepada siapa yang Dia mengkehendaki, dan sesiapa menyekutukan Allah dengan sesuatu, dia sesat dalam kesesatan yang jauh.

Written by syurgaminda

July 8, 2011 at 6:02 pm

Posted in Agama

Bayangkan jika tiada Agama Islam

with 14 comments


Tuhan menurunkan Al-Quran kepada manusia agar menjadikan ianya sebagai panduan dan petunjuk untuk menjalani kehidupan yang terbaik di alam ini. Bukannya menyuruh manusia untuk mencipta agama seperti Agama Islam.

Para nabi dan rasul terdahulu tidak pernah menganut agama islam. Mereka tidak sembahyang, puasa, berzakat, menunaikan haji, mengucap dua kalimah syahadah atau menjalani ritual-ritual yang lain seperti yang terdapat dalam ritual agama islam.

Misi yang mereka bawa adalah sama, iaitu mengajak semua manusia agar mengabdikan diri kepada Sang Pencipta. Mereka tidak sesekali membina sesuatu objek yang kononnya sebagai arah mengadap atau kiblat termasuklah nabi terakhir yang menyampaikan Al-Quran. Itu semua adalah dakwaan yang diada-adakan oleh para pembesar agama yang mengatas namakan Islam sebagai sebuah agama.

Seperti yang didakwa oleh para pembesar agama, Agama Islam yang mereka cipta ini mengandungi pelbagai peraturan yang jelas menekan dan membelenggu pemikiran manusia.

Kebanyakan suruhan seperti sembahyang lima waktu, puasa di bulan ramadan, beritual di hadapan kiub batu dan sebagainya tidak pernah membawa faedah kepada para pengikut mereka. Malah memberi kesan buruk iaitu bercakaran sesama sendiri, lemah dan ketinggalan dalam bidang-bidang ilmu yang bermanfaat.

Itulah akibat jika mengada-adakan dusta terhadap Tuhan. Mereka kata ia adalah suruhan dan hukum Tuhan. Namun setelah disemak dalam Al-Quran yang juga berfungsi sebagai pembeza, kita tidak menjumpainya.

Cuba bayangkan jika Islam didirikan atas ciri-ciri sebagai sebuah kehidupan yang terbaik dan bukannya sebagai sebuah agama? Jawapannya cukup mudah. Kehidupan manusia akan selamat dan sejahtera. Ini sebenarnya jaminan Tuhan.

6:125. Sesiapa yang Allah menghendaki untuk memberikan petunjuk, Dia melapangkan dadanya untuk Islam; sesiapa yang Dia menghendaki untuk disesatkan, Dia membuatkan dadanya sempit dan sendat, seakan-akan dia mendaki ke langit. Begitulah Allah meletakkan kotoran kepada orang-orang yang tidak mempercayai.

Berdasarkan ayat di atas, ada DUA situasi di sini;

1. Orang yang mengikuti cara hidup Islam – dadanya berasa lapang (pemikiran yang luas)
2. Orang yang menganut Agama Islam – dadanya berasa sempit (pemikiran yang sempit dan terbelenggu).

Buktinya, ada di depan mata kita sendiri.

Written by syurgaminda

July 5, 2011 at 11:30 am

Posted in Islam