syurgaminda ku di sini…

Islam adalah pegangan ku

Archive for the ‘Sains dan Teknologi’ Category

Roket versus buraq

with 11 comments


Kita bersyukur, sejak terciptanya roket manusia mendapat pelbagai manfaat daripadanya. Satelit yang dihantar oleh roket berupaya untuk mendapatkan imej dan keadaan bentuk muka bumi sebenar-benarnya. Ini termasuklah imej alam cakerawala seperti matahari, planet-planet, bintang-bintang, bulan dan segala yang ada di angkasa lepas.

Manusia yang bergelar angkasawan dapat menembusi langit untuk mengkaji dan terus mengkaji ruang angkasa yang tidak pernah dijelajahi sebelum itu. Seterusnya hasil kajian mereka digunakan dalam bidang-bidang tertentu demi kepentingan manusia seluruhnya bukan untuk dibuat barang permainan!

Menurut sumber yang dipetik daripada Wikipedia;

Roket merupakan pesawat, peluru berpandu, atau kapal terbang yang menghasilkan tujahan melalui tindak balas kepada ekzos dari enjin roket. Ekzos ini terhasil dari satu atau lebih bahan api yang dibawa dalam roket sebelum dilancarkan. Tujahan ini digambarkan mengikut Hukum Pergerakan Newton ke-3. Sering kali takrifan roket digunakan untuk merujuk kepada enjin roket.

Kepercayaan orang-orang terdahulu bahawa bumi ini berbentuk datar adalah sekadar omong kosong semata-mata. Mereka hanya bermain prasangka tanpa mengemukakan sebarang bukti. Orang yang tidak mahu menggunakan minda dan hanya tahu menurut membuta-tuli, akan percaya cerita dongeng tersebut.

Akhirnya teori itu tidak dapat disahkan kebenarannya apabila imej bumi yang dipaparkan melalui satelit di angkasa menjelaskan segala-galanya.

Sekiranya manusia hanya sibuk untuk melakukan amalan ritual seharian dan langsung tidak terfikir untuk mencipta kuasa yang boleh menembusi langit, sampai kiamatlah mereka ditipu hidup-hidup dengan mitos tersebut.

Sedangkan dalam Al-Quran Tuhan memberi petunjuk bahawa golongan manusia dan jin boleh tembusi langit dengan satu kuasa.

55:33. Wahai golongan jin dan manusia, jika kamu boleh menembus pembatasan langit dan bumi, tembusilah! Kamu tidak menembusinya kecuali dengan satu kuasa.

Mengapa Tuhan tidak beritahu apakah kuasa tersebut? Jawapannya ada dalam Al-Quran sendiri.

3:190. Sesungguhnya dalam ciptaan langit dan bumi, dan dalam pergantian malam dan siang, terdapat ayat-ayat bagi orang-orang yang mempunyai minda,

38:29. Sebuah Kitab Kami menurunkan kepada kamu, diberkati, supaya mereka mengingati, dan supaya orang-orang yang mempunyai minda merenungkan ayat-ayatnya.

Orang-orang yang mempunyai minda tentu akan membuat penyelidikan bagaimana mereka dapat mencipta kuasa tersebut. Namun bagi orang-orang yang tidak mempunyai minda, mereka sekadar percaya cakap-cakap pembesar agama mereka bahawa kuasa itu adalah binatang buraq yang menjadi kenderaan nabi untuk naik ke langit.

Written by syurgaminda

June 24, 2011 at 2:49 am

Setiap manusia perlu kemahiran & kepakaran

with one comment


Manusia yang hidup di muka bumi ini seharusnya memiliki sekurang-kurangnya satu atau dua kemahiran untuk menjadi seorang yang dikatakan pakar.

Mengapa perlunya ada kemahiran setiap individu?

Bayangkan dunia ini dipenuhi dengan pelbagai golongan yang pakar dalam bidang masing-masing. Sudah pasti kehidupan semua insan akan menjadi hebat. Setiap kemahiran dan kepakaran mereka disumbangkan demi manfaat sejagat.

Kita ada pakar dalam bidang perubatan, saintis, kejuruteraan, angkasa lepas, pembinaan, motivasi dan sebagainya. Namun, jika kita terlalu mengharapkan mereka tanpa perlu berusaha untuk menjadi seperti mereka, kita akan ketinggalan dari segenap aspek kehidupan.

Saya bukan mengajak anda untuk menjadi pakar bedah, saintis, jurutera dalam masa yang sama. Memang mustahil untuk dilakukan kerana keterbatasan masa dan sebagainya. Tapi, cukuplah satu atau dua sahaja!

Sama ada kemahiran dan kepakaran yang ada tersebut wujud secara semulajadi atau dipengaruhi oleh persekitaran bukannya mendatangkan masalah. Yang menjadi masalah, ianya kurang atau tidak digilap sepenuhnya. Akhirnya, hilang begitu sahaja.

Oleh itu, setiap individu seharusnya menggali lebih banyak ilmu bagi meningkatkan kemahiran yang sedia ada atau kemahiran yang akan datang.

Namun begitu, perlu kita ingatkan setiap kemahiran dan kepakaran yang ada pada diri sendiri haruslah digunakan pada jalan yang betul, bukannya bagi tujuan yang tidak baik dan mendatangkan beban kepada orang lain.

Inisiatif untuk memajukan diri sendiri, keluarga, dan masyarakat adalah kunci kepada kejayaan sesebuah negara apatah lagi jika majoriti penduduk adalah orang-orang yang berkemahiran tinggi.

Jika ini dapat direalisasikan, dunia ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh semua insan yang memiliki kepakaran masing-masing tanpa perlu dikongkong oleh pembesar-pembesar agama yang melarang pengikutnya menggunakan akal.

Written by syurgaminda

June 16, 2011 at 5:08 am