syurgaminda ku di sini…

Islam adalah pegangan ku

Archive for the ‘Agama’ Category

“Kami sembah Allah, bukan batu!”

with 11 comments


Seringkali, inilah jawapan yang diterima setiap kali diajukan soalan-soalan seperti; “Mengapa perlu mengadap kiub batu di Mekah? Anda sembah Allah atau batu?”

Jawapan yang keluar dari mulut para ritualis Agama Islam ini ialah “Kaabah (kiub batu) adalah kiblat (arah) kami bersembahyang”, “Kami sembah Allah, bukan sembah batu”!

Mari kita kaji secara teliti mengapa mereka menjawab sedemikian.

Pertama, mereka bermati-matian mempertahankan kata-kata mereka bahawa mereka hanya menyembah Tuhan Yang Satu iaitu Allah. Namun, mengapa perlu mengadap, berkunjung dan beritual di tempat di mana batu itu berdiri gah? Bukankah ia bermaksud menyembah batu?

Sepatutnya, jika mereka kata hanya sembah Allah semata-mata, mereka tidak perlu mengadap, berkunjung dan beritual pada kiub batu tersebut. Dalam Al-Quran begitu jelas mengatakan;

2:115. Kepunyaan Allah Timur dan Barat; ke mana sahaja kamu berpaling di situlah wajah Allah; sesungguhnya Allah Merangkumi, Mengetahui.

Di mana-mana sahaja kita berada, di situ ada “Wajah Allah”. Wajah Allah bermaksud ketetapan-ketetapan Allah di alam semesta ini.

Pernah mereka mengemukakan hujah berbunyi begini; “Andaikata “Kaabah” itu musnah, kami tetap bersembahyang kepada Tuhan.” Soalnya, mereka harus mengadap ke mana?

Jika “Kaabah” itu musnah, tentu sekali para pembesar agama akan terkial-kial untuk mencari tempat mengadap yang sesuai atau adakah mereka akan membina “Kaabah” yang baru?

Bayangkan jikalau mereka berada di bulan. Ke arah mana harus mereka mengadap? Bagaimana mereka menentukan arah kiub batu jikalau bumi ini sendiri sentiasa berputar pada paksinya?

Inilah sebab mengapa semua perbuatan menyekutukan Tuhan itu akhirnya membawa kepada sesuatu yang tidak masuk akal.

Mereka sebenarnya mendustai diri mereka sendiri. Dengan mengatakan “Kaabah” itu adalah ‘Rumah Allah’ yang patut dikunjungi, dicium, dikelilingi dan sebagainya, mereka sebenarnya menyembah batu dan menyekutukan Tuhan.

Kita sedia maklum bahawa Allah tidak akan mengampunkan orang-orang yang menyekutukanNya. Inilah yang paling kita takuti.

4:116. Allah tidak mengampunkan apa yang dengan-Nya dipersekutukan, dan Dia mengampunkan yang selain itu kepada siapa yang Dia mengkehendaki, dan sesiapa menyekutukan Allah dengan sesuatu, dia sesat dalam kesesatan yang jauh.

Written by syurgaminda

July 8, 2011 at 6:02 pm

Posted in Agama

Onani adalah hak individu

with 12 comments


Kebanyakan orang apabila mendengar perkataan “Onani”, terbayang di fikirannya tentang air mani yang dikeluarkan sama ada melalui tangan atau menggunakan objek-objek tertentu.

Kita sedia maklum, mengapa ada individu yang beronani? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencapai kepuasan seksualnya sendiri sama ada melibatkan orang lain atau pun untuk dirinya sendiri.

Tujuan orang yang beronani biasanya hanya ingin memuaskan keinginan seksnya sahaja. Setelah melakukan onani, hatinya yang bergelora sebelum itu akan kembali tenang.

Perbuatan onani lazimnya dilakukan tanpa memerlukan individu lain. Jika sebaliknya, ia bergantung kepada status individu itu sendiri sama ada yang sudah atau belum berkahwin. Suami isteri yang melakukan onani sesama sendiri tiada masalah. Namun jika pasangan tersebut tiada apa-apa ikatan, ia juga dipanggil sebagai berzina. Itu cerita lain.

Apa yang saya hendak fokuskan dalam artikel ini ialah tentang onani yang dibuat tanpa melibatkan pasangan. Dengan kata lain, “hanya buat sorang-sorang”. Tiada dalil dalam Al-Quran yang jelas mengenai hukum orang yang melakukan onani.

Namun, kebanyakan para pembesar agama mengharamkan onani atau dalam bahasa pasar adalah ‘melancap’. Maknanya, jika dilakukan akan mendatangkan dosa besar. Dalil utama mereka pada ayat Al-Quran di bawah;

“Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak tercela. Tetapi barangsiapa mau selain yang demikian itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang melewati batas.” (23:5-7)

Saya berpendapat frasa “memelihara kemaluannya” pada ayat tersebut bermakna tidak melakukan persetubuhan kepada selain isteri atau hamba sahaya. Ia bukanlah bermaksud memelihara kemaluan tanpa beronani.

Onani bersendirian adalah hak individu kerana tidak melibatkan kesan mudarat kepada orang lain. Para pembesar agama tidak perlu menjatuhkan hukum begitu dan begini kepada orang lain. Apa jua kesan sama ada untuk jangka pendek atau jangka panjang ia hanyalah kepada individu itu sendiri.

Ia seumpama mandi untuk menghilangkan kotoran di tubuh. Jika tidak mandi, seseorang itu tidak akan berasa selesa. Mandi adalah untuk kepuasan tubuh badan manakala onani adalah sebahagian daripada kepuasan seks.

Written by syurgaminda

June 29, 2011 at 4:25 pm

Posted in Agama

Solat bukan sembahyang

with 13 comments


Dalam agama islam, ritual yang bermula dan berakhir dengan cara-cara tertentu mereka namakan sebagai ‘solat’ dan ianya juga dipanggil sebagai ‘sembahyang’.

Bilangan sembahyang mereka berbeza-beza mengikut kepercayaan tok guru masing-masing. Namun begitu, rata-rata penganutnya bersembahyang sebanyak lima kali sehari. Tumpuan mengadap mereka semestinya kiub batu yang terdapat di Mekah.

Apabila mereka ditanya adakah orang-orang yang beragama hindu, kristian, yahudi atau buddha juga bersolat? Mereka akan jawab, “Tidak, mereka hanya sembahyang bukan bersolat!”

Kalau mereka katakan orang-orang yang berbeza agama daripada mereka bukan bersolat dan hanya bersembahyang, jadi mengapa mereka mendakwa hanya mereka bersolat atau bersembahyang?

Mari kita semak dalam Al-Quran, benarkah perkataan ‘solat’ itu bermaksud sembahyang atau mempunyai pengertian yang lain.

24:41. Tidakkah kamu melihat bagaimana segala yang di langit dan di bumi menyanjung Allah, dan burung-burung mengembangkan sayap-sayap mereka? Masing-masing – Dia mengetahui solatnya, dan sanjungannya; dan Allah mengetahui apa yang mereka buat.

Dalam ayat di atas, segala yang ada di langit dan di bumi termasuk burung-burung tahu solat mereka. Jika solat ini dimengertikan sebagai sembahyang orang-orang beragama islam, maka segala isi alam termasuk di langit dan bumi harus melakukan ritual sembahyang yang sama sebagaimana yang dilakukan oleh penganut beragama islam.

Ini sesuatu yang tidak masuk akal. Mereka hanya mendakwa sedemikian tanpa berpandukan petunjuk yang terdapat dalam Al-Quran. Apa yang penting bagi mereka ialah dapat mempromosikan ritual tersebut dan seterusnya menambahkan bilangan pengikut agama mereka.

Written by syurgaminda

June 21, 2011 at 4:10 pm

Posted in Agama

Manusia tidak perlu agama

with 35 comments


Menurut kamus dewan, agama didefinisikan sebagai kepercayaan, ajaran, pegangan, anutan, ikutan, pedoman, petunjuk, ketuhanan, keimanan, din, akidah.

Dalam beragama, pengikutnya diajar tentang bagaimana melakukan upacara-upacara ritual sebagai tatacara untuk menyembah Tuhan.

Setiap agama ada kaedah penyembahan kepada Tuhan masing-masing. Dan yang lebih utama, dalam upacara ritual tersebut ada objek-objek sebagai tempat mengadap.

Sebilangan penganut sesuatu agama menafikan mereka menyembah objek tersebut dan percaya mereka sebenarnya menyembah Tuhan bukannya objek sembahan. Manakala ada sebahagian agama yang lain, objek yang mereka mengadap itu adalah Tuhan mereka.

Agama Islam adalah agama yang mempunyai pengikut yang paling ramai di dunia. Pertambahan pengikut mereka ini adalah disebabkan larangan keras untuk penganut mereka daripada pihak pembesar agama agar tidak meninggalkan agama tersebut.

Jika mereka meneruskan niat, individu tersebut dianggap murtad atau terkeluar dari islam. Malah di sesetengah negara, mereka akan menghukum si pelaku dengan hukuman bunuh. Akhirnya, ugutan sedemikian mengundang rasa takut oleh penganutnya.

Selain itu, pertambahan penganut mereka juga adalah disebabkan oleh faktor perkahwinan orang yang bukan beragama islam dengan penganut beragama islam. Mereka tidak akan membenarkan penganut mereka mengikuti agama yang berlainan daripada agama islam.

Inilah salah satu sebab mengapa manusia tidak perlu kepada agama. Kebebasan individu disekat oleh pihak-pihak tertentu. Malah pembesar-pembesar agama ini seolah-olah berlagak seperti Tuhan yang kononnya tahu di mana individu tersebut harus ditempatkan di akhirat kelak.

Written by syurgaminda

June 16, 2011 at 5:12 pm

Posted in Agama